Khamis, 13 Oktober 2016

Hadin impi beraksi dalam Piala AFF

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI  |  13 Oktober 2016 12:00 AM
Muhammad HADIN AZMAN (kiri) menanduk  untuk menjaringkan gol skuad
Muhammad HADIN AZMAN (kiri) menanduk untuk menjaringkan gol skuad negara ketika menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam semalam.
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Pemain sayap kiri, Muhammad Hadin Azman belum berpuas hati dengan prestasinya biarpun berjaya menjaringkan gol tunggal buat Harimau Malaysia ketika mengikat Afghanistan 1-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Hadin yang mewakili Felda United dalam saingan Liga Super turut memperagakan aksi cemerlang apabila sering melakukan larian ke depan untuk memecah benteng pertahanan lawan.

Biarpun baru berusia 22 tahun dan membuat penampilan kedua bersama skuad kebangsaan, namun dia tidak menunjukkan rasa gugup, malah berharap dapat dipilih mewakili Malaysia dalam Piala AFF Suzuki, November ini.

“Gol yang saya jaringkan malam ini (semalam) adalah hasil kerjasama rakan sepasukan. Semua pemain memberi komitmen tinggi dan beraksi dengan baik tetapi masih banyak yang perlu saya perbaiki dari segi permainan.

“Keputusan ini bagus untuk pasukan. Saya juga akan sentiasa beri yang terbaik sekiranya diturunkan dan berharap dapat mewakili negara dalam Piala AFF nanti,” katanya.

Hadin yang pernah menarik perhatian beberapa kelab Belanda semasa menyarung jersi Harimau Muda B menyifatkan gol itu sebagai titik permulaan yang baik untuk kariernya di peringkat antarabangsa.

“Pastinya ia pembakar semangat untuk saya menjadi lebih baik. Saya akan terus berusaha mempertingkatkan tahap permainan dan menimba sebanyak mungkin pengalaman bersama skuad negara.

“Sebagai pemain bola sepak adalah menjadi impian saya untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan. Kalau saya diberi peluang itu, sudah tentu saya akan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya lagi.

Hadin sebelum ini turut diturunkan sebagai pemain gantian dalam penampilan sulung bersama Harimau Malaysia ketika seri 0-0 dengan Singapura, minggu lalu.

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 13 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan