Jumaat, 14 Oktober 2016

Perlu masa untuk serasi – Baddrol

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI  |  12 Oktober 2016 11:58 PM
 Pemain Malaysia, Baddrol Bakhtiar (kiri) mengasak pemain Afghanistan,Kanischka
Pemain Malaysia, Baddrol Bakhtiar (kiri) mengasak pemain Afghanistan,Kanischka Taher dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam semalam yang berkesudahan seri 1-1. UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Ketua pasukan Baddrol Bakhtiar berharap penyo­kong bersabar dengan pres­tasi Harimau Malaysia ketika ini dan berkata dia dan rakan-rakannya masih dalam tempoh mencari keserasian berikutan ramai muka baharu dibawa masuk oleh Datuk Ong Kim Swee.

Katanya, pemain-pemain Harimau Malaysia telah mula menunjukkan tanda-tanda memahami dan serasi dengan satu sama lain ketika mereka seri 1-1 dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam semalam dan pemain Kedah itu agak berpuas hati dengan aksi dipamerkan mereka.

Pemain tonggak Lang Merah itu berkata corak permainan yang dipamerkan barisan skuad negara semalam adalah berbeza berban­ding ketika menentang Singapura minggu lalu.

“Pertama sekali saya berpuas hati dengan persembahan rakan sepasukan malam ini (semalam) sebab kami masih lagi dalam pro­ses mencari keserasian antara satu sama lain.

“Ini kerana kami hanya berlatih bersama selama seminggu dan ada di antara kami baru bermain bersama jadi keputusan ini baik untuk pasukan. Pemain menjalankan tugas dengan baik seperti yang diarahkan oleh jurulatih.

“Dalam perlawanan dengan Singapura sebelum ini kami ba­nyak bertahan tetapi malam ini kami mengubah sedikit corak permainan iaitu bertahan dan me­nyerang.

“Kami melakukannya dengan baik dengan menjaringkan satu gol,” katanya kepada pembe­rita selepas tamat perlawanan persahabatan ketiga skuad kebangsaan semalam.

Baddrol yang bakal membuat persiapan mengharungi saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia Sabtu ini bersama Kedah mengakui bahawa Afghanistan bermain pantas dan baik.

“Afghanistan sebuah pasukan yang kuat dan bermain laju tetapi kami berjaya mengekang asakan mereka dengan bertahan dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Ini satu peningkatan yang baik untuk pasukan,” ujarnya.

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 12 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan