Jumaat, 14 Oktober 2016

Kim Swee kena baiki sentuhan penyudah

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
13 OKTOBER 2016
 Kim Swee kena baiki sentuhan penyudah
Kim Swee kena baiki sentuhan penyudah Antara aksi bertenaga dipamerkan Hadin (kiri) ketika aksi Malaysia menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam, kelmarin.
HARIMAU Malaysia perlu memperbaiki segala kelemahan khususnya di bahagian serangan sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki yang akan bermula pada 19 November ini,

Menurut pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, pemain perlu bekerja lebih keras lagi untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada selain mempertingkatkan kekuatan mental menjelang kejohanan tersebut.

Ini kerana katanya, segala kekurangan itu jelas kelihatan pada aksi persahabatan menentang Afghanistan kelmarin yang menyaksikan mereka sekadar seri walaupun dihidangkan deretan peluang.

“Saya percaya bahawa kita sepatutnya menang perlawanan itu, terutama dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain pada separuh masa kedua namun masih terdapat beberapa kelemahan khususnya di bahagian serangan.

"Ada sedikit peningkatan terutama daripada segi gerakan tetapi aksi  di jentera serangan perlu diperbaiki lagi.

"Saya akan fokus pada latihan untuk memperbaiki dan mendapatkan  corak  serangan yang lebih kemas sebelum perlawanan pertama Piala AFF pada 21 November," katanya.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Afghanistan yang menghuni ranking ke-149 dunia terlebih dahulu membuka jaringan minit ke-33 menerusi Noarollah Amiri sebelum Mohd Hadin Azman menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama.

Untuk rekod, dalam tiga perlawanan terakhir, skuad Harimau Malaysia hanya menjaringkan satu gol selepas terikat tanpa jaringan  menentang  Singapura pada Jumaat lalu dan tewas 3-0 kepada Indonesia 6  September lalu.

Kim Swee berharap akan ada perubahan secara menyeluruh daripada pemainnya bagi mendapatkan tonik terbaik sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki.

“Secara keseluruhan, kami bertahan dengan baik. Kita buat asakan berterusan sehingga membuahkan gol.

“Babak kedua pun sama, kita agresif dan meningkatkan tekanan kepada Afghanistan. Saya harap pemain akan terus meningkatkan kualiti perlawanan," katanya.

Harimau Malaysia yang kini menghuni tangga ke-158 dunia dijangka membuat perhitungan terakhir di pentas persahabatan antarabangsa menentang Papua New Guinea lima hari sebelum Piala AFF membuka tirai.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 13 OKTOBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan