Sabtu, 15 Oktober 2016

Jangan masuk jerat: Hazwan

Jangan masuk jerat: Hazwan
 
HAZWAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kami tidak boleh mengambil risiko dengan mengamalkan corak permainan terbuka.” Itu firasat ayam tambatan Selangor Ahmad Hazwan Bakri yang menyifatkan pertemuan separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia bertemu T-Team di Kuala Terengganu pastinya cukup getir biarpun pasukannya memiliki bekalan satu gol di dalam tangan.

Jelasnya, kemenangan 2-1 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam tempoh hari belum cukup untuk menjamin tempat ke pentas final kerana baginya skuad kendalian Rahmad Darmawan pasti akan bangkit memadam kelebihan itu.

“Kami perlu kekal fokus seperti bermain di Stadium Shah Alam dan perlu lebih berhati-hati kerana apa saja boleh terjadi dalam 90 minit perlawanan berlangsung.

“Kami juga tahu kami tidak boleh terlalu bermain corak permainan terbuka. T-Team pastinya sudah bersedia dan tidak mudah menentang mereka yang beraksi di laman sendiri.

“Apapun, percaturan taktikal terletak di tangan jurulatih dan kami perlu bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan antarabangsa di antara pasukan Malaysia berdepan Afghanistan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Hazwan yang juga penyerang utama skuad Harimau Malaysia, berazam membantu Red Giants melangkah ke pentas final buat kali kedua berturut-turut sekali gus cuba mengulangi pencapaian musim lalu apabila menjuarai trofi yang menjadi rebutan itu.

Katanya, pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa akan dimanfaatkan sebaik mungkin ketika menentang T-Team nanti.

“Berlatih bersama rakan sepasukan yang hadir dari pelbagai negeri di latihan pusat sememangnya sedikit sebanyak membantu saya meningkatkan ketajaman dan penyudah ketika mendapat peluang di depan gol,” katanya.

“Jadi, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi pada separuh akhir kedua nanti dan jika diturunkan, saya akan memberi yang terbaik untuk membantu Selangor memenangi aksi hidup mati ini,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 11:08 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan