Jumaat, 14 Oktober 2016

Aiman mahu bawa PDRM ke final

14 Oktober 2016 12:30 AM
Fakrul AIMAN SIDID telah menunjukkan prestasi yang baik kebelakangan
FAKRUL AIMAN SIDID telah menunjukkan prestasi yang baik kebelakangan ini sehingga terpilih untuk menyarung jersi Harimau Malaysia.
KUALA LUMPUR 13 Okt. – Penyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fakrul Aiman Sidid berjanji akan memberi aksi terbaik dalam misi memburu tempat ke final Piala Malaysia sekali gus bakal memahat sejarah paling manis untuk kelab itu.

Bagaimanapun, dia sedar bukan tugas mudah berdepan Kedah dalam separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat Sabtu ini berikutan kelebihan jaringan yang dimiliki pihak lawan namun bukan mustahil untuk menang seandainya PDRM tampil lebih berani berbanding ketika tewas 1-2 di Alor Setar pada 30 September lalu.

Aiman, yang sebelum ini beraksi bersama DRB-Hicom, menyeru rakan sepasukannya supaya mencari gol awal selain berwaspada dengan ancaman barisan serangan skuad Lang Merah.

“Ini adalah peluang terakhir untuk pasukan meraih piala musim ini dan apabila telah melangkah hingga ke peringkat ini (separuh akhir) maka kami harus menyerang habis-habisan.

“Mengenai defisit gol, kami tidak mahu memikirkan sangat kerana fokus utama adalah perlawanan Sabtu ini iaitu cuba mencari gol awal dan memanfaatkan setiap peluang dengan sebaik mungkin.

“Jika gagal menjaringkan gol maka harapan kami akan musnah. Perlawanan ini boleh diibaratkan seperti aksi final dan peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan. Kami juga harus memastikan gawang tidak dibolosi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 14 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan