Khamis, 13 Oktober 2016

Impak lonjakan Hadin

 
HADIN (kiri) jaring gol tunggal negara.
myMetro
Kuala Lumpur: Pemain muda Muhammad Hadin Azman tidak memerlukan banyak masa untuk melakukan impak bersama skuad Harimau Malaysia apabila menjadi penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Afghanistan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelmarin.

Aksi Hadin, 22, yang masuk sebagai pemain gantian pada penampilan pertama menentang Singapura minggu lalu nampak tenggelam namun dia tidak mensia-siakan peluang apabila diturunkan jurulatih Datuk Ong Kim Swee bagi menggantikan Syazwan Zainon yang mengalami kecederaan pada minit ke-19 dalam aksi di Stadium Shah Alam itu.

Pemain sayap FELDA United berkenaan melonjak tinggi bagi melepasi kawalan dua pertahanan Afghanistan untuk menanduk masuk bola hantaran Matthew Davies pada penghujung babak pertama.

Meskipun gembira dengan gol pertama dalam kariernya bersama Harimau Malaysia, Hadin tetap kecewa kerana gagal membantu kemenangan skuad negara.

“Saya kecewa kerana gagal membantu pasukan negara mencatatkan kemenangan tetapi pada masa sama, saya bangga dapat menjaringkan gol pertama bersama Harimau Malaysia.

“Apapun, tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan dan komitmen yang tinggi, saya tidak mungkin mampu menjaringkan gol itu. Keputusan malam ini (kelmarin) bukanlah satu perkara yang negatif,” katanya.

Jelas posisi sayap kiri kini bakal menjadi rebutan Hadin dan seorang lagi pemain muda Safawi Rashid malah persaingan mungkin akan bertambah sengit jika Kim Swee turut menyenaraikan Wan Zack Haikal Wan Noor dan Azamuddin Akil dalam skuad terakhir ke Piala AFF di Yangon, Myanmar bulan depan.

“Gol itu menyuntik semangat saya untuk bermain dengan pasukan kebangsaan. Jika terpilih, sudah tentu saya mahu memberikan aksi lebih baik. Sama ada saya menjaringkan gol atau tidak, itu tidak penting tetapi ia lebih kepada motivasi peribadi saja kerana yang penting adalah kemenangan pasukan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 11:04 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan