ARKIB : 15/04/1998
Azman penyelamat Selangor
REMBAT ...Pemain Selangor,
Rusdi Suparman menyepak bola melepasi pemain Pahang,Khairul Nizam Mustapha pada
perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang
1-0. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.
AZMAN Adnan muncul hero
menunaikan hajat Selangor untuk mengutip kemenangan pertama apabila berjaya
menewaskan Pahang 1-0 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Shah Alam malam
tadi, lapor AMRAN MULUP.
Ketika perlawanan jelas menjadi
milik Pahang dengan penguasaan penuh pelawat namun kebangkitan Merah Kuning
pada babak kedua dengan jaringan tunggal Azman pada minit ke-77 mencacatkan
rekod tanpa kalah Pahang dalam dua perlawanan lalu.
Kemenangan yang dicari Selangor
selepas tunduk 1-3 kepada Sarawak dan seri 1-1 dengan Brunei, pastinya turut
melegakan 15,000 pasukan itu.
Bermula dari hantaran cantik
Alexander di depan pintu gol lawan tanpa disedari pertahanan, Azman terus
meluru sambil merebahkan badan menanduk masuk menggegar jaring.
Seawal minit kelapan penyerang
berbisa Pahang, Azizul Kamaluddin nyaris-nyaris meledakkan jaringan awal akibat
kesilapan Asroff Hanafiah gagal mengeluarkan bola.
Asakan awal pelawat nyata
mengamankan seketika benteng pertahanan Selangor melihat K. Gunalan dan Aizal
Lamin kembali dalam kesebelasan utama.
Belumpun reda ancaman awal
pelawat, benteng Selangor kembali cemas empat minit selepas itu tetapi lega
melihat rembatan kencang Joszef Duro meliar.
Asakan bertali arus terus
mengancam tuan rumah dan giliran Azizul turut hampa apabila membuat sepakan
liar selepas mendapat umpanan Jalaluddin Abu Jaafar pada minit ke-16.
Dua minit selepas itu Azizul
turut hampa rembatan kencangnya dalam kotak penalti ditepis keluar oleh
Azlisham.
Dalam keadaan tertekan,
Selangor turut mencemaskan pertahanan pelawat namun rembatan kencang Azman
selepas menggelecek dua pertahanan lawan melewati beberapa inci palang gol.
Lima minit sebelum rehat
Selangor memiliki dua peluang terbaik untuk memecah kebuntuan namun percubaan
Azman turut meliar manakala sepakan percuma Aizal pula melewati beberapa inci
palang gol lawan.
Pada minit ke-55, Azizul
terlepas peluang mencipta jaringan apabila dia hanya menanduk keluar selepas
mendapat hantaran cantik Mohd. Ali Tahar.
Dua minit selepas itu giliran
Azahruddin Aziz pula kecewa rembatan kencangnya dari luar kotak penalti ditolak
keluar oleh Azlisham.
Selangor yang tertekan bangkit
mengandakan asakan peluang menyusul milik Shahril Arsat yang menggelecek dua
pertahanan lawan tetapi sekadar merembat keluar pada minit ke-59.
Buruan mencari gol akhirnya
menjadi milik Selangor menerusi tandukan Azman menyambut hantaran Freeman
menewaskan Mudzar Mohamad.
Artikel Penuh: SUMBER-http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4J9ResjxM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan