Sabtu, 3 September 2016

Melaka gugur Kim Swee, Paul Raj

ARKIB : 29/04/1998
Melaka gugur Kim Swee, Paul Raj
BEKAS pemain kebangsaan, Ong Kim Swee dan Paul Raj akhirnya digugurkan daripada pasukan bola sepak Melaka ekoran persembahan kurang menyerlah pada persaingan bola sepak Liga Perdana Dua musim ini, lapor AMIRUDDIN HARUN.

Kedua-dua pemain itu digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menerusi sepucuk surat yang diserahkan kepada dua pemain terbabit pada 21 April lalu.

Pengguguran dibuat setelah persatuan itu mendapati kedua-dua pemain itu tidak menunjukkan prestasi seperti yang dikehendaki semasa perjanjian ditandatangani sebelum perlawanan liga dimulakan.

Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh ketika dihubungi di Melaka semalam memberitahu, tindakan drastik itu diambil setelah MAFA tidak mempunyai pilihan lain bagi memastikan pasukan itu diwakili oleh barisan pemain yang berwibawa.

Mengenai pembayaran gaji pemain-pemain, beliau mengakui MAFA berhadapan dengan masalah pembayaran gaji pemain tetapi MAFA cuba menyelesaikannya secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya, masalah ini timbul kerana Gibca Holdings Sdn. Bhd., yang menjadi penaja utama pasukan musim ini masih belum menyuntik bantuan kewangan kepada MAFA.

Beliau juga mengesahkan bahawa hanya enam pemain kontrak termasuk pemain import yang dibayar gaji bulanan manakala baki pemain yang merupakan pemain amatur hanya dibayar elaun.

Berikutan masalah yang timbul, katanya, Presiden MAFA, Datuk Mohamed Jais akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah pada 3 Mei ini di Arwana Resort, Genting Highlands.

Menurutnya, pertemuan itu diharap dapat menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh MAFA lebih-lebih lagi setelah pasukan Sang Kancil diaibkan oleh pasukan Terengganu, 0-5 pada perlawanan Perdana Dua di Terengganu, Jumaat lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4JChfgJEc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan