ARKIB : 21/04/1998
'Boy' tarik perhatian
PEMAIN terbaik perlawanan akhir
Piala Malaysia 1995, Azlisham Ibrahim kini sudah menemui sentuhan yang
membolehkan dia merangkul anugerah itu selepas kembali beraksi pada dua
perlawanan Liga Perdana Satu, musim ini.
Keyakinan juga terpancar pada
persembahan pemain muda yang lebih terkenal dengan panggilan 'Boy' di kalangan
rakan sepasukan dan penyokong Merah Kuning apabila banyak menyelamatkan kubunya
daripada serangan lawan terutamanya ketika bertemu Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Dalam perlawanan itu, Azlisham
berjaya menggagalkan beberapa percubaan pemain Harimau Kumbang terutamanya
menepis tandukan pemain pertahanan, Zaidi Mat Ail ketika sepakan sudut yang
kelihatan sudah hampir pasti menembusi jaring Selangor.
Ketika ditemui selepas
perlawanan itu, dia gembira dengan persembahannya selepas banyak memanaskan
bangku simpanan musim lalu, ekoran kecederaan yang dialaminya selain
peningkatan permainan penjaga gol muda, Abdul Hadi Tahir.
''Saya hendak lupakan musim
lepas dan menumpukan sepenuh perhatian untuk terus menjaga gawang Selangor
musim ini, tetapi saingan yang diberikan oleh Hadi merupakan satu persaingan
yang sihat dan baik untuk pasukan,'' jelasnya.
Mengenai persembahan pasukannya
setakat ini, Azlisham berpuas hati dengan komitmen rakan-rakannya kerana mereka
berjaya bermain sebagai satu pasukan dan berjaya menerapkan segala tunjuk ajar
jurulatih, Steve Wicks ketika latihan ke dalam perlawanan sebenar.
Mengulas jaringan Moey Kok Hong
yang membantutkan hasrat Selangor untuk mengutip tiga mata penuh, Boy mengakui
pemain itu mempunyai tandukan yang baik dan sudah kerap kali menjaringkan gol
melalui tandukan walaupun beraksi di barisan pertahanan.
Wicks turut gembira dengan
persembahan Azlisham yang pertama kali diturunkan ketika menentang Pahang di
Shah Alam, minggu lalu dan berharap prestasi itu dapat dikekalkan untuk
kebaikan pasukan.
Azlisham merampas semula
tempatnya untuk menjaga gawang Selangor, selepas wira musim lalu, Abdul Hadi
merosot sedikit persembahannya selepas diberikan peluang dalam dua perlawanan
awal.
Hadi melepaskan empat gol dalam
dua perlawanan itu dan Wicks mengambil tindakan wajar untuk mencuba semula
Azlisham bagi memperkukuhkan bentang Selangor.
Oleh: YUSWAN YUNUS
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4JBQMLDvf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan