Sabtu, 3 September 2016

Jaringan pertama skuad Olimpik

REBUT... Penyerang Negeri Sembilan, Gus Cerro cuba dihalang oleh ketua pasukan Olimpik 2000, M. Elangoo pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi. Negeri Sembilan menang 2-1. - Gambar HANAFI KHAMIS.

PENANTIAN memburu gol akhirnya menjadi kenyataan buat Olimpik selepas 335 minit namun ia tidak mampu menjanjikan kejayaan apabila Negeri Sembilan mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Merdeka malam tadi, lapor AMRAN MULUP.

Jurulatih Hatem Souissi tampak lega dengan jaringan penyamaan menerusi V. Saravanan selepas tiga perlawanan.

Namun pemain veteran Dollah Salleh yang dimasukkan pada babak kedua tidak mensia-siakan peluang menyempurnakan gol kemenangan Negeri Sembilan pada minit ke-75.

Buat Olimpik ini adalah kekalahan kedua di gelanggang sendiri yang sebelum ini tewas 1-0 kepada Perak manakala dua perlawanan lagi mencatat keputusan seri tanpa jaringan bertemu Brunei dan Kedah.

Manakala Negeri Sembilan mampu pulang lega mengutip kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Perlis 4-0 di Paroi, Selasa lalu.

Negeri Sembilan yang masih segar dengan kemenangan besar ke atas Perlis Selasa lalu mengasak awal, peluang mereka tiba pada minit ke-11 namun rembatan kencang Zami Mohd. Noor dari luar kotak penalti sekadar melewati palang.

Namun Olimpik bangkit mencemaskan benteng pertahanan pelawat tolakan cantik ketua pasukan Chia Ching Kar tetapi rembatan Mohd. Khalid Jamlus meliar keluar pada minit ke-17.

Dua minit selepas itu Khalid sekali lagi hampa melihat rembatan lemahnya sekadar ke dakapan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Yazid Mohd. Yassin hasil lorongan cantik Azmir.

Negeri Sembilan akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-33 apabila sepakan sudut Gus Cerro tepat ke arah Affendi yang tidak menghadapi masalah menanduk masuk menggegar jaring.

Buruan Olimpik untuk mencari gol penyamaan hampir berhasil pada minit ke-53 hanya kecekapan Mohd. Yazid menjadi penghalang. Akhir penantian Olimpik untuk mencipta jaringan berhasil melalui jaringan V. Saravanan pada minit ke-65.

Kedudukan terikat 1-1 hanya mampu bertahan sepuluh minit apabila pemain veteran Dollah Salleh meledakkan jaringan kedua menyempurnakan hantaran Zami dalam gol yang sudah terngaga.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JB8swgCZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan