Selasa, 13 September 2016

Alex lengkap koleksi peribadi

Rizar Mohd Noor-rizar@hmetro.com.my
 
Johor Bahru: Bukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) saja melakar sejarah mencipta hatrik kejuaraan Liga Super malah pemain sayap kanan skuad itu, Azamuddin Akil (gambar) turut mencipta sejarah peribadi selepas melengkapkan koleksi peribadi empat piala yang dimenanginya sejak membabitkan diri selaku pemain profesional.

Kini pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mahu mengalih tumpuan ketika aksi lebih getir menanti dan mahu membantu Johor DT memburu kemenangan pada aksi suku akhir pertama Piala AFC apabila menentang South China di Stadium Mongkok, malam esok.

Katanya, perasaan gembira melengkapkan koleksi peribadi selepas menjulang kejuaraan Liga Super amat dinanti-nantikan kerana sudah memenangi Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih ketika bersama Pahang.

“Impian menjadi kenyataan dan ia hasil kerja keras semua pemain Johor DT malah saya sendiri akui sejak menyertai pasukan ini, corak permainan menjadi lebih mantap selepas menjalani latihan yang cukup tersusun dan sistematik.

“Kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih Mario Gomez ibarat satu amanah yang harus dilakukan dan saya bersyukur berjaya melaksanakan bersama rakan sepasukan.

“Kini tumpuan kami beralih kepada saingan Piala AFC apabila menentang kelab dari Hong Kong dan kami harus mencari kemenangan bagi membawa bekalan selesa apabila beraksi pada suku akhir kedua di Stadium Larkin, 20 September ini,” katanya.

Jelasnya, moral pemain tampak begitu tinggi selepas melakar sejarah pada kancah Liga Malaysia (Liga M) dan pastinya perlu ada kesinambungan untuk melakar kemenangan apabila berdepan kelab dari Hong Kong itu.

Pemain sayap kanan itu tidak menafikan betapa tugas untuk mencipta kemenangan tetap ada memandangkan barisan pemain Johor DT sudah memahami kehendak perancangan taktikal Gomez dan perlu mengelak membuat kesilapan mudah.

Malah katanya, walaupun terpaksa berpisah sementara dengan keluarga sempena Hari Raya Aidiladha namun ia satu pengorbanan terbesar buat dirinya yang mahu membantu Johor DT meneruskan rentak kemenangan selain menaikkan imej kelab itu.

“Satu pengorbanan yang besar kami lakukan bagi memburu kejayaan dan sebagai pemain profesional kami harus bersiap sedia dan mempamerkan corak permainan konsisten dan menafikan penguasaan kelab dari Hong Kong.

“Rekod tanpa kalah ketika saingan Kumpulan H ingin dikekalkan, walaupun kami tahu agak sukar selepas mendapat tahu pasukan South China dibarisi pemain baharu yang mantap tapi kami akan tetap letak sasaran untuk menang,” kata Azamuddin.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:12 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan