Sabtu, 3 September 2016

Ketiadaan Freeman Selangor tempang

ARKIB : 20/04/1998
TERPEGUN... Pemain pertahanan Selangor, Aizal Lamin hanya mampu melihat kehebatan Merzagua Abderrazak menimang bola dalam perlawanan bola sepak PErdana Satu di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, kelmarin yang berkesudahan seri 1-1.

KECEDERAAN yang menimpa perancang utama Selangor, Alexander Freeman disifatkan menjadi punca utama kepada kegagalan Merah Kuning mengutip tiga mata ketika bertemu Pulau Pinang dalam Liga Perdana Satu, di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, kelmarin.

Freeman diusung keluar pada minit ke-52 perlawanan apabila tercedera selepas terbabit merancang gol pendahuluan pasukannya, melalui tolakan mudah Azman Adnan seminit sebelum itu.

Beliau yang berjaya merebut bola di luar kawasan penalti tuan rumah, melorongkannya kepada Rusdi Suparman yang berjaya menewaskan dua benteng Pulau Pinang sebelum menghantarnya ke depan gawang, untuk disudahkan oleh Azman.

Hakikat itu diakui sendiri oleh jurulatih Steve Wicks yang menyifatkan Freeman berperanan besar membendung pergerakan perancang utama Harimau Kumbang, Balla Modou Conde.

''Tuan rumah berjaya mengambil peluang pada 20 minit terakhir dengan berterusan menyerang untuk mencari gol penyamaan, manakala Conde mempunyai ruang yang luas untuk bergerak selepas ketiadaan Freeman,'' katanya selepas perlawanan itu.

Bagaimanapun Wicks berpuas hati dengan satu mata yang dikutip pasukannya memandangkan Pulau Pinang juga bermain baik untuk menyajikan permainan yang menghiburkan ribuan penonton.

Namun beliau berasa lebih gembira sekiranya Merah Kuning berjaya mengutip mata penuh kelmarin kerana pada pengamatannya tiga mata berhak dibawa pulang anak buahnya.

''Pemain bermain baik, tersusun dan mengikut segala arahan dengan kita menguasai hampir keseluruhan permainan melainkan 20 minit akhir perlawanan yang akhirnya menyaksikan Moey Kok Hong menyamakan kedudukan pada minit ke-78,'' terangnya.

Wicks memuji prestasi Amali Amir yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan pertama musim ini selain penjaga gol Azlisham Ibrahim yang berjaya mempamerkan kehebatan seperti yang dipamerkan pada musim 1995.

''Pemain baru Amali untuk beraksi di gelanggang yang dipenuhi hampir keseluruhan penyokong tuan rumah, tetapi dia berjaya membuktikan, manakala Azlisham sudah memperolehi keyakinan untuk menjaga gawang selepas memanaskan bangku simpanan musim lalu,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JBOGg1U0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan