Selasa, 6 September 2016

Belum puas


 
AMRI (dua dari kiri) menjadi pemain paling senior dalam kesebelasan Harimau Malaysia.
Aziman Rosdiaziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: “Saya belum puas.” Itu reaksi penyerang berpengalaman Mohd Amri Yahyah yang sedia menyahut cabaran selepas dilantik kapten baru Harimau Malaysia kelmarin.

Pemain bintang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu yang kini berusia 35 tahun berkata, dia masih belum puas beraksi di pentas antarabangsa namun tidak menetapkan sebarang sasaran sampai bila kariernya akan bertahan.

“Sebagai pemain bola sepak memang saya tak pernah rasa puas. Berapa lama (bersama skuad kebangsaan) saya tak tahu, terpulang pada diri sendiri, sasaran tak diputuskan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan semalam.

Amri pemain paling senior yang masih menabur bakti bersama Harimau Malaysia ketika ini selepas kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang kesemuanya dari Johor DT mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa Jun lalu.

Selain Amri yang dilantik mengambil tugas ditinggalkan Safiq, Kim Swee turut memberikan tugas penolong kapten kepada pemain tengah Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Ini bukan kali pertama Amri memakai lilitan di lengan selepas diberikan tanggungjawab itu ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Dili dan dia menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada Oktober tahun lalu.

Bagi pemain kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu, tugas diberikan Kim Swee itu amat berat.

“Berat, ini tanggungjawab negara, saya harap rakan lain dapat berikan kerjasama untuk saya laksanakan tugas yang diberikan jurulatih. Ini rezeki, tak sangka masih ada jurulatih yang masih percaya kepada saya,” kata Amri.

Tugas pertama Amri sudah pasti untuk memimpin pasukan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.

“Saya harap kita pulang tanpa kalah,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:09 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan