ARKIB : 04/05/1998
Pesta Bola Sepak MSSM -- Melaka
kejutkan juara pertahan
MELAKA mengejutkan penyandang
juara, Selangor dengan kejayaan 2-1 pada perlawanan Pesta Bola Sepak Majlis
Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku
Anum, Jitra, petang semalam, lapor MARZUKI MOHAMAD.
Pada perlawanan kumpulan A itu,
kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun enam minit selepas
rehat, Mirsad Amri memperdayakan penjaga gol, U. Saragunan yang meluru untuk
menyelamatkan keadaan sementara gol kedua disumbat oleh Suhairi Othman minit
69.
Selangor bangun merapatkan
jurang dan kesempatan terbaik yang diambil oleh D. Surindren mengenai sasaran
pada minit ke-77 malangnya percubaan berterusan selepas itu tidak mengubah
kedudukan.
Naib juara tahun lalu, Kedah
pula berjaya menundukkan Pulau Pinang 3-1 bagi perlawanan kumpulan B, di Kolej
Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.
Pemain tuan rumah, Akmal Rizal
Ahmad melakukan hat trick dengan jaringan pada minit kedua, ketiga dan 37
manakala gol tunggal Pulau Mutiara itu dihasilkan oleh Mohamad Azaini Ahmad
pada minit 48.
Dalam perlawanan lain, Negeri
Sembilan menang besar 6-0 ke atas Pahang pada perlawanan kumpulan D.
Di sebalik kekalahan teruk,
Pahang turut kehilangan pemainnya, Iskandar Zulkarnain yang dibuang padang pada
minit ke-60 oleh pengadil R. Krishnan, yang merupakan kes pertama pada
kejohanan ini.
Iskandar dihukum kerana tidak
menunjukkan semangat kesukanan tulen setelah bertindak kasar dengan menendang
paha pemain lawan, Shahdan Shahrom menyebabkan dia digantung dua perlawanan.
Pada perlawanan di padang
Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Omar, Jalan Sultanah itu, Negeri
Sembilan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Fadzil Abu
Hassan pada minit ke-24 dan 53.
Bagaimanapun, pemain dari
negeri adat perpatih itu, K. Rajan mencipta hat trick dengan jaringan pada
minit ke-51, 52 dan 89. Satu lagi gol dijaringkan oleh Rasyid Ridha pada minit
ke-74.
Dalam satu lagi perlawanan
kumpulan yang sama, Perlis mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur
dengan kemenangan 2-0 di padang Sekolah Menengah Teknik, Jalan Stadium.
Kedua-dua pasukan seri tanpa
jaringan pada separuh masa pertama, tetapi Wan Irhandy Effendy Mohd. Zober
membuka tirai jaringan pada minit 56 dan 10 minit kemudian, Amirul Jufri Abdul
Jalil, memperkukuhkan pasukannya dengan gol kedua.
Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur turut mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Johor 3-0 bagi
perlawanan kumpulan C, di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Malik Alor
Merah.
Gol semangat Wilayah datang
dari Mohamad Hazmin pada minit ke-30 untuk mendahului 1-0 pada separuh masa
pertama, bagaimanapun, K. Thayalan memasti kemenangan dengan jaringan gol minit
ke-44 dan 60.
Bagi perlawanan bawah 12 tahun,
penyandang juara, Selangor dan Negeri Sembilan juga berjaya mengatasi halangan
pertama sementara Pahang dan Perak terikat 2-2.
Selangor mengalahkan Melaka 5-1
bagi kumpulan A di Sekolah Kebangsaan Ayer Puteh, Pendang.
Gol Selangor diperoleh melalui
Mohd. Arzuddin Mazalan minit ke-15, Tasmaun Mohamad (48), Aminuddin Zainuddin
(52), Mohd. Amirul Hadi Zainol (53) dan Manthi Varma (59). Gol tunggal Melaka
disumbat oleh Mohd. Anrat Abdul Rahman minit 25.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JG6w8TxR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan