ARKIB : 16/07/1998
Shamsurin tuntut pampasan
BEKAS penyerang utama Sarawak,
Shamsurin Abdul Rahman menuntut Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) membayar
pampasan tiga bulan gaji berikutan penamatan kontraknya minggu lalu.
FAS telah menamatkan kontrak
pemain lincah yang berasal dari Melaka itu pada 6 Julai lalu dengan bayaran
gaji sebulan sebagai ganti rugi kepada notis sebulan.
Tindakan menamatkan kontrak
pemain itu dipercayai ada kaitan dengan masalah kecederaan yang masih
membelenggu lagi Shamsurin ketika mewakili pasukan kebangsaan dalam kejohanan
kelayakan Piala Dunia di Dubai, tahun lalu.
Bagaimanapun, Shamsurin
mendakwa kontrak yang ditamatkan berdasarkan Fasal 6 (C) Kontrak Pemain Bola
Sepak yang ditanda tangani antaranya dengan FAS pada 23 Oktober, 1996 tidak
dimasukkan dalam kontrak berkenaan.
Namun begitu, katanya,
berlandaskan Fasal 26 (C) yang ada pada kontrak itu, penamatan seseorang pemain
perlu dibuat menerusi tiga bulan notis atau dibayar tiga bulan gaji sebagai
ganti rugi.
''Dalam hal ini, saya menerima
keputusan FAS menamatkan kontrak saya. Tetapi cara pemberian pampasan itu tidak
selari dengan fasal yang sedia ada.
''Saya terima sekiranya mereka
(FAS) tidak mengkehendaki khidmat saya lagi. Namun, saya mesti mendapatkan
pampasan tiga bulan gaji sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 26 (C),''
katanya kepada sebuah akhbar tempatan, semalam.
Menurut Shamsurin, dia sudah
pun merujuk perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya.
Sambil melahirkan rasa kecewa,
pemain yang pernah mengungguli penjaring terbanyak dalam skuad Bujang Senang
berkata, beliau akan mengambil tindakan secara profesional bagi menyelesaikan
masalah yang dihadapi.
Tegasnya: ''Saya tidak sesekali
akan memalukan FAS. Apa yang saya minta ialah tindakan FAS perlulah berasaskan
kepada kontrak yang sedia ada.''
Dalam pada itu, beliau turut
'berkecil hati' dengan jurulatih Alan Vest yang sepatutnya terlebih dahulu
memaklumkannya secara lisan sebelum mengemukakan surat penamatan kontrak.
Menurutnya, semua yang terlibat
dalam skuad bola sepak Sarawak adalah profesional dan sebarang tindakan yang
diambil perlulah juga secara profesional.
''Saya tidak suka dengan cara
yang dilakukan seperti ini,'' ujarnya kesal.
Shamsurin mula menyarung jersi
Sarawak pada 1993 dan sejak itu ia mula mencipta nama melalui persembahan
cemerlang sehingga dipanggil mewakili pasukan nasional.
Perlawanan terakhir Shamsurin
bersama Sarawak musim ini ialah ketika menentang Pulau Pinang di Stadium
Bandaraya bulan lalu di mana Bujang Senang tumpas 0-3.
Oleh: ANUAR ARIFFIN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K40gJSWm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan