Selasa, 30 Ogos 2016

Salah faham prosedur panggilan

 
NAZIRUL (kanan) bersama Weigang hadir di Wisma FAM semalam.
Petaling Jaya: Agak menyedihkan selepas sekian lama dipraktikkan masih ada jurulatih dan pihak pengurusan pasukan negeri yang tidak tahu mengenai prosedur pemain dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Kes terbaru membabitkan pemain Perak Nazirul Naim Che Hashim yang gagal melaporkan diri semalam walaupun berada dalam senarai 24 pemain bagi kem latihan pusat skuad Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee kelmarin.

Laporan Arena Metro semalam sesuatu yang mengejutkan buat jurulatih Perak Karl-Heinz Weigang yang mengakui tidak mengetahui prosedur pemain dipanggil tetap perlu melaporkan diri walaupun mengalami kecederaan bagi tujuan pemeriksaan doktor.

Jurulatih kelahiran Jerman itu mengesahkan hadir di Wisma FAM kelmarin namun tidak dapat bertemu Setiausaha Agung FAM Hamidin Mohd Amin bagi menyerahkan surat pengesahan kecederaan dialami Nazirul.

Bagaimanapun beliau sudah memaklumkan sendiri kepada Kim Swee selepas itu.

“Saya menghubungi jurulatih kebangsaan (Kim Swee) tapi malangnya, beliau tidak bersetuju dengan saya.

“Beliau menerangkan mengenai prosedur pasukan kebangsaan. Saya minta maaf kerana tidak tahu prosedur berkaitan panggilan skuad kebangsaan. Saya juga bertanya kepada PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) mengenai prosedur itu, yang sedihnya mereka juga tidak tahu.

“Jurulatih (Kim Swee) menegaskan pemain itu perlu datang ke sini. Jadi, saya membawanya dan kami tiba di sini (Wisma FAM),” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Ini bukan kali pertama kes pemain tidak melaporkan diri selepas penjaga gol dari Kelantan Khairul Fahmi Che Mat pada Januari 2012 dan bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Norshahrul Idlan Talaha pada Februari 2014.

Latihan skuad kebangsaan bermula kelmarin dengan Kim Swee ingin membentuk pasukan semula bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Solo pada 6 September.

Menurut Kim Swee, mengikut prosedur, pemain dipanggil yang mengalami kecederaan perlu melaporkan diri dengan skuad kebangsaan terlebih dulu untuk mendapatkan pelepasan.

“Nazirul hadir untuk menjalani pemeriksaan dan selepas diperiksa pegwaai perubatan FAM, kita dapati memang dia mengalami kecederaan dan tidak sempat pulih.

“Buat masa ini, saya masih belum memikirkan mengenai penggantinya. Kemungkinan besar tiada pengganti kerana saya mempunyai 23 pemain ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 8:32 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan