ARKIB : 08/02/2006
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Ketua pasukan
Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian terlepas daripada hukuman digantung 12 bulan
dan denda RM3,000 selepas Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) semalam mengetepikan hukuman yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib pada
6 Januari lalu.
Sebaliknya, bekas pemain
kebangsaan itu dijangka dikenakan penggantungan tiga perlawanan dan denda
RM1,000 sahaja mengikut Peraturan 6(a) Jawatankuasa Tatatertib.
Pengerusi Jawatankuasa Rayuan,
Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah berkata, hukuman yang diputuskan oleh
Jawatankuasa Tatatertib mengikut peraturan 7 (a) tidak bertepatan dengan
tuduhan perlakuan ganas Ahmad Shahrul ke atas pengadil perlawanan.
Menurutnya, jawatankuasa telah
meneliti laporan dan menonton tayangan video insiden yang berlaku pada
pertemuan Perak dengan MPPJ 31 Disember lalu dan mendapati bekas pemain
kebangsaan itu tidak berlaku ganas ke atas pengadil, Manjit Singh.
``Istilah ganas ke atas Ahmad
Shahrul adalah tidak tepat kerana dalam insiden tersebut, ketua pasukan Perak
itu sekadar menyentuh Manjit.
``Tidak ternampak sebarang
perlakuan ganas dalam istilah sebenar dilakukan oleh Ahmad Shahrul sama ada dia
menumbuk atau menolak hingga jatuh pengadil tersebut.
``Kerana itu jawatankuasa
berpendapat hukuman penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000 tidak wajar buat
Ahmad Shahrul,'' ujarnya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat
di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.
Sehubungan itu, kata Abdul Shukor,
mesyuarat yang bersidang semalam mengarahkan jawatankuasa tatatertib mengadakan
semula perbicaraan ke atas Ahmad Shahrul dengan tuduhan dibuat di bawah
peraturan 6(a) dan bukannya 7(a).
Mengikut peraturan 7(a)
menyebut, pemain yang diperintah keluar padang dan menerima kad merah oleh
pengadil kerana berkelakuan ganas terhadap pengawai perlawanan secara automatik
dihukum penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000.
Sementara hukuman bagi
peraturan 6(a) memperuntukkan penggantungan tiga perlawanan dan denda sebanyak
RM1,000.
Mengulas lanjut Abdul Shukor
berkata, pertuduhan atas ketua pasukan Perak itu di bawah peraturan 6(a)
dianggap bersesuaian.
``Keputusan ini tidak bermakna
Ahmad Shahrul dibenarkan beraksi walaupun dia sudah menjalani penggantungan tiga
perlawanan atas tuduhan pertama.
``Dia akan terus menjalani
penggantungan sehingga keputusan baru diambil oleh Jawatankuasa Tatatertib yang
akan bersidang tidak lama lagi,'' ujarnya.
Bagaimanapun ujar beliau,
rayuan ketua pasukan Perak itu atas pertuduhan pertama apabila digantung tiga
perlawanan dan denda RM1,000 ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan.
Menurutnya, pemain itu didapati
bersalah kerana mengkasari penyerang MPPJ, Rachid Zmma pada minit ke-77 pada 31
Disember lalu.
Di samping itu katanya, rayuan
daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) yang didenda RM10,000 kerana gagal
mengadakan kawalan keselamatan di stadium, turut ditolak oleh jawatankuasa
tersebut.
Ujarnya, rayuan jurulatih
Telekom Melaka, Irfan Bakti yang digantung satu perlawanan dan denda RM1,000
juga ditolak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44qmRQCrO
© Utusan Melayu (M) Bhd