ARKIB : 16/12/1999
PEMAIN Pulau Pinang, Asmawi
Bakiri yang digugurkan daripada pasukan ''Harimau Kumbang '' terkilan dengan
bekas majikannya kerana tidak memaklumkan tentang hasrat untuk mengetepikannya
musim depan.
''Memang kontrak saya tamat
tahun ini tetapi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berilah tahu mereka
tidak mahu lagi menyambung kontrak saya musim depan.
''Ini kerana saya sememangnya
menaruh hajat besar untuk terus mewakili Pulau Pinang sekurang-kurangnya
semusim lagi,'' katanya.
Asmawi bersama rakan-rakannya
dari Selangor, penjaga gol Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan pemenang kasut
emas Azman Adnan digugurkan bersama beberapa lagi pemain Pulau Pinang.
Asmawi yang mengetahui tentang
penyingkirannya dari pasukan tersebut menerusi laporan akhbar terkejut kerana
sepanjang mewakili Pulau Pinang, dia bermain dengan baik sehingga dikekalkan
dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan.
Bagaimanapun, kata Asmawi, dia
sanggup mempertimbangkan tawaran Pulau Pinang sekiranya FAP mengubah pendirian
untuk memanggilnya semula.
''Saya sanggup kembali tetapi
biarlah kena dengan syaratnya dan FAP perlu menghubungi saya untuk
membincangkan perkara ini,'' tambah beliau.
Ditanya mengenai masa depannya,
Asmawi berkata, dia belum memutuskan pasukan mana bakal disertai musim depan
kerana ingin berehat terlebih dahulu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4Sm29F600
© Utusan Melayu (M) Bhd