Isnin, 6 Jun 2016

Malaysia akan tampil berbeza

KIM SWEE (dua dari kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Timor Leste, Fabio Magrao selepas selesai sidang akhbar di Hotel Double Tree, Johor Bahru semalam yang turut dihadiri Baddrol (kanan) dan pemain Timor Leste, Diogo Santos.

MALAYSIA akan tampil berbeza apabila turun membuat perhitungan dengan Timor Leste pada aksi playoff kedua kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Jurulatih Datuk Ong Kim Swee bakal menerap­kan corak permainan yang lebih mudah dalam misi untuk memerangkap pergerakan pemain pasukan lawan yang dilihat memiliki kelebihan dari segi saiz fizikal.

Menurut Kim Swee, beliau akan cuba mengamalkan corak hantaran pendek serta serangan balas yang pantas berbanding taktikal yang lebih terbuka pada perlawanan pertama, 2 Jun lalu.

Setakat ini katanya, para pemain nampak selesa dengan corak tersebut dan ia telah menjadi ke­utamaan mereka dalam setiap sesi latihan selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste pada aksi pertama, Khamis lalu.

Walaupun selesa dengan agregat 3-0 tetapi para pemain skuad Harimau Malaysia tidak boleh leka kerana pasukan lawan pasti bangkit untuk me­madam kelebihan tersebut.

Jelas Kim Swee lagi, beliau percaya skuad kendalian Fabio Magrao itu akan tampil dengan corak permainan yang berbeza pada aksi kedua nanti dan atas sebab itulah mereka perlu mempelbagai taktikal permainan dalam misi menyekat kemaraan pasukan lawan.

“Kita mungkin akan tampil dengan corak hantaran pendek dan pada masa yang sama akan bermain secara berhati-hati serta waspada. Yang pasti, pasukan lawan akan tampil dengan corak berbeza untuk mencari gol bagi mengatasi kelebihan agregat yang kita pegang ketika ini.

“Saya berharap setiap pemain dapat menggalas tugas dengan baik serta mengikut arahan yang telah dirancang. Kita akan bermain dengan taktikal hantaran pendek serta serangan balas yang pantas dalam usaha mencari peluang membolosi pintu gol pasukan lawan,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di Hotel Double Tree, Johor Bahru semalam.

Timor Leste akan menjadi tuan rumah pada aksi playoff kedua ini di venue yang sama.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee turut melahirkan rasa lega terhadap tahap kece­deraan yang dialami tiga pemain utamanya iaitu Brendan Gan, Shahrom Kalam dan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi yang dilaporkan semakin pulih.

“Kemungkinan mereka akan diturunkan pada perlawanan kedua nanti, namun saya perlu menilai prestasi mereka kerana kami akan menjalani satu lagi sesi latihan petang ini (petang semalam) untuk memastikan mereka benar-benar bersedia dan boleh beraksi,” katanya.

Ketiga-tiga tersebut me­ngalami kecederaan ketika turun pada perlawanan pertama, 2 Jun lalu.

Sementara itu, pemain tengah, Baddrol Baktiar turut berharap agar Brendan dan Shahrom dapat turun beraksi memandangkan mereka antara pemain yang memegang watak penting dalam skuad negara.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4AnEsw3Fe Hakcipta terpelihara



Tiada ulasan:

Catat Ulasan