MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
21 September 2019 3:00 AM
LUQMAN (tengah) bergambar bersama Vincent (kiri), Syed
Saddiq (kanan) serta kedua ibu bapanya, Shamsudin Mahmood dan Hasmah Che Soh
pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Pemain sensasi bawah 19 tahun negara
(B-19), Luqman Hakim Shamsudin akan berkelana ke Eropah selepas menandatangani
kontrak selama lima tahun bersama kelab Liga Divisyen 1 Belgium, KV Kortrijk
semalam.
Perkara tersebut diumumkan pada satu sidang akhbar yang
dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abu Bakar dan pemilik kelab
berkenaan, Tan Sri Vincent Tan di Kuala Lumpur semalam.
“Saya kena bersedia awal terutamanya dari segi budaya,
namun dari segi makanan tiada masalah memandangkan saya pernah pergi ke
beberapa negara Eropah untuk menyertai kejohanan di sana.
“Boleh dikatakan cabaran utama adalah kelebihan fizikal
yang dimiliki pemain di sana dan saya perlu membuat persiapan rapi bermula
sekarang,” kata pemain kelahiran Kelantan itu pada sidang akhbar berkenaan
semalam.
Luqman yang ketika ini berusia 17 tahun merupakan
pelatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan produk kelahiran Program
Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu dijangka bersama kelab Kortrijk
apabila usianya genap 18 tahun pada Mac depan.
Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN),
Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara
(ISN), Ahmad Faedzal Md. Ramli dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.
Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq berharap kejayaan
Luqman mendapat tawaran kontrak bersama kelab profesional luar negara akan
menjadi inspirasi kepada pemain muda negara yang lain untuk mengikuti jejak
langkah sama.
“Saya harap Luqman mampu menyesuaikan diri dengan
persekitaran baharu dan tidak akan pulang awal ke tanah air seperti beberapa
pemain negara sebelum ini. Beberapa pegawai daripada MSN, ISN dan FAM bakal
diarahkan untuk memantau perkembangannya,” katanya.
Sementara itu, Vincent Tan mengakui kelabnya sangat
berbangga dapat menawarkan kontrak kepada Luqman yang menunjukkan prestasi
cemerlang dalam beberapa kejohanan termasuk membantu skuad remaja Harimau
Malaya muncul naib juara Kejohanan Piala AFF B-18 di Vietnam bulan lalu.
“Semua orang memberi sokongan kepada Luqman tetapi pada
akhirnya, dia mesti berdisiplin dan berlatih lebih tekun, barulah jurulatih
akan pasti meletakkannya sama ada dalam kesebelasan atau simpanan,” katanya
yang juga pemilik kelab Cardiff City.
Sebagai rekod, Luqman merupakan pemain muda negara
ketiga yang menandatangani kontrak profesional dengan liga luar negara selepas
Muhd. Hadi Fayyadh Abd. Razak bersama kelab Jepun, Fagiano Okayama dan Zafuan
Azeman (Ang Thong FC/Thailand). - K! ONLINE SUMBER-KOSMO ONLINE 21 September
2019 3:00 AM