AKHYAR (kiri) dinasihatkan usah ke Liga Indonesia. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
PENYERANG skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Akhyar Rashid perlu menyiasat
profil kelab luar negara yang berminat mendapatkan khidmatnya terlebih dahulu
sebelum membuat keputusan berhijrah.
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan
menjelaskan, ia penting bagi memastikan tujuan pemain muda Kedah itu berhijrah
ke luar negara untuk mengembangkan lagi bakatnya, tercapai.
Katanya, Akhyar atau pemain lain yang berhasrat untuk beraksi di liga luar
negara perlu memilih kelab yang memiliki standard lebih tinggi berbanding
pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).
“Kalau nak diikutkan pergi ke (liga) Indonesia tak digalakkan kerana
standard mereka lebih kurang liga M. Tapi kalau Jepun dan Thailand, saya fikir
bagus untuk pemain muda seperti Akhyar mengembangkan bakatnya.
“Tapi dia kena pastikan adakah kelab yang ingin disertai itu berprofil
tinggi dalam liga mereka dan selain mempunyai sejarah melahirkan ramai pemain
kebangsaan negara itu.
“Kita juga perlu lihat struktur kelab itu, apa kedudukan mereka dalam liga
dan seterusnya kemudahan yang dimiliki. Kalau kemudahan lebih teruk dari Kedah
buat apa dia pergi,” katanya hari ini.
Semalam, abang Akhyar, Rafdi yang juga bekas pemain Kedah mengesahkan
terdapat wakil atau ejen yang berminat berunding dengan adiknya itu mengenai
tawaran beraksi bersama kelab Thailand, Jepun dan Indonesia.
Ia susulan prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain berusia 18 tahun itu
ketika bersama skuad negara sepanjang Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia
(AFC) B-23 yang menyaksikan anak didik Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah
apabila mara hingga ke suku akhir.
Selain itu, Sathianathan turut berharap pemain tempatan yang ditawarkan
kelab luar perlu membuat penilaian terlebih dahulu dan tidak hanya menjadi
pelengkap kepada pasukan itu.
“Pemain perlu lihat kelab mana yang mahukan mereka. Jangan kelab divisyen dua
Thailand, itu tidak bagus.
“Mereka juga kena pastikan ada peluang untuk bermain, contohnya jika pergi
ke Thailand, kalau kelab itu hanya nak guna dia bagi penuhi untuk kuota import
ASEAN dan diletakkan di bangku simpanan, buat apa.
“Tapi kalau di Jepun, divisyen satu dan dua mereka sudah bagus. Jika kelab
itu bagus, pemain tidak harus lepaskan peluang ini dan kita semua pasti gembira
jika ada pemain tempatan beraksi di liga lebih tinggi,” katanya.