ARKIB : 04/12/1998
SEMANGAT masih kental bagi
penjaga gol berpengalaman, Ahmad Sobri Ismail dan tonggak pertahanan Manja Man
untuk terus memberikan aksi terbaik jika diberi kesempatan pada musim depan.
Sewaktu rakan-rakan
''seperjuangan'' mendapat tempat lebih awal dalam pasukan negeri, Ahmad Sobri
disisihkan daripada skuad Pulau Pinang manakala Manja masih belum menerima
kontrak baru dengan Perlis.
Di sebalik penggugurannya,
Ahmad Sobri yakin masih dapat memberikan aksi terbaik sekiranya ada pasukan
negeri lain yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Ahmad Sobri berkata, ini kerana
dia masih boleh bermain dengan baik sebagaimana aksi yang ditunjukkan pada
musim- musim lalu.
''Prestasi saya masih baik,
malah cukup bersedia untuk bermain dengan mana-mana pasukan pada musim depan,''
kata Ahmad Sobri.
Ahmad Sobri mengakui bahawa dia
pernah dipelawa untuk bermain dengan kelab di Singapura tetapi lebih berminat
menyumbangkan baktinya dengan mana-mana pasukan di negara ini.
Sementara Manja pula
memberitahu, dia masih berkemampuan untuk beraksi dengan Perlis sekiranya pihak
persatuan bola sepak negeri menyambung kontraknya.
''Saya sedia untuk bermain jika
ada tawaran musim depan tetapi itu bergantung kepada keputusan persatuan bola
sepak negeri.
''Sebagai pemain profesional,
saya perlu menghadapi apa juga keputusan yang akan diambil mengenai masa depan
saya.'' tambah Manja.
Kedua-dua pemain tersebut
bersama pemain Selangor, Zainal Abidin Hassan, K. Gunalan dan tonggak Pulau
Pinang, Ooi Hoe Guan memanfaat ''cuti'' musim ini dengan mengikuti kursus
jurulatih di Pulau Pinang.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PbgyPmsu
© Utusan Melayu (M) Bhd