ARKIB : 04/12/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
PERPINDAHAN pemain pertahanan,
Faizal Zainal mengejutkan skuad Perak yang mula menjalani latihan intensif bagi
menghadapi cabaran Liga Super pertengahan Januari depan.
Pemain pertahanan yang berasal
dari Negeri Sembilan itu membuat keputusan berpindah ke negeri lain selepas
mengadakan satu pertemuan dengan pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi di
Ipoh kelmarin.
Sukan Utusan difahamkan Faizal
betindak demikian apabila permintaannya untuk mendapatkan kenaikan gaji ditolak
oleh pihak pengurusan Perak.
Sebelum ini, pemain pertahanan
itu disebut-sebut akan menyarung jersi juara Piala Malaysia, Majlis Perbandaran
Petaling Jaya (MPPJ) tetapi Faizal menafikannya.
Faizal turut menjalani latihan
pada sebelah pagi kelmarin tetapi telah mengucapkan selamat tinggal kepada
rakan sepasukannya pada sebelah petangnya untuk berpindah ke negeri lain.
Penolong jurulatih, Mohd Zakaria
Mohamed berkata, perpindahan Faizal agak mengejutkan kerana sebelum ini pemain
pertahanan itu menafikan hasratnya menyarung jersi negeri lain.
``Saya tidak mengetahui sebab
Faizal bertindak sedemikian tetapi berharap pemain pertahanan itu berjaya
bersama-sama pasukan barunya kelak,'' kata Zakaria di Ipoh, semalam.
Sehubungan dengan itu, Zakaria
berkata, Perak terpaksa mencari pemain pertahanan pertahanan yang berwibawa
bagi mengisi kekosongan tersebut supaya benteng skuad Seladang tetap mantap.
Sebelum ini, Faizal bersama-sama
Syamsol Saad, Chan Kok Heng dan Chan Wing Hoong berjaya membentuk benteng
pertahanan yang digeruni oleh pihak lawan.
Kini Perak kehilangan tiga pemain
berwibawa termasuk Faizal apabila Indera Putra Mahayuddin berpindah ke Pahang
dan Yusri Che Lah pula menyarung jersi Perlis musim depan.
Selain itu, Kok Heng yang menjadi
tonggak utama bersama-sama Faizal telah membuat keputusan bersara selepas
menyarung jersi skuad Seladang lebih 15 tahun.
Bekas pemain pertahanan Sabah,
Asmawi Bakiri sudah menjalani latihan bersama-sama para pemain Perak semalam
dan rakannya, Shahril Arshat dijangka menyertai skuad Seladang minggu depan.
Kini persiapan skuad Seladang
dikendalikan oleh Zakaria kerana jurulatih, Toni Netto masih bercuti di Brazil
dan dijangka pulang awal tahun depan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4diMxswUr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan