Memaparkan catatan dengan label MOHD. RIZAL GHAZALI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MOHD. RIZAL GHAZALI. Papar semua catatan

Selasa, 18 Oktober 2016

Rizal idam bawa pulang trofi ke Kedah

 
RIZAL (kanan) bersyukur Kedah layak ke final.
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Pertahanan Kedah, Rizal Ghazali menganggap kemenangan agregat 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan layak ke final Piala Malaysia suatu rezeki yang dinanti-nanti.

Pertahanan kanan yang baru menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-24 pada 1 Oktober lalu berkata, dia amat bersyukur kerana Kedah berjaya layak hingga ke final selepas menempuh 10 perlawanan dalam Piala Malaysia yang bermula Julai lalu.

“Kami menempuh kisah suka dan duka serta pengorbanan yang dilalui dalam cabaran getir sepanjang perjalanan perlawanan sejak dari awal musim lagi membabitkan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia kini yang sudah sampai ke kemuncaknya.

“Kami pernah dikritik setiap kali sasaran yang kami mahukan tidak seperti keputusan yang kami peroleh dan kami juga dipuji melambung setiap kali mencatat keputusan cemerlang.

“Inilah bola sepak dan kami harus menyahut cabaran kali ini dengan cekal dan tabah dalam menghadapi apa juga cabaran yang akan kami tempoh untuk bertemu Selangor di final nanti,” katanya.

Rizal berkata, ketika kali pertama beraksi di pentas final Piala Malaysia bertemu Selangor tahun lalu dia dapat berasakan semangat yang begitu memuncak, ketara dan perasaan sangat dekat untuk pasukan Kedah mengenggam piala itu tetapi sayang hajat itu tidak kesampaian.

“Pastinya hajat kami sebagai pemain Kedah kali ini mahukan Piala Malaysia dibawa pulang ke Kedah selepas kali terakhir berjaya menjuarainya pada 2008.”

Pemain berasal dari Baling itu mula menyertai Kedah pada 2014 selepas beraksi dengan Perlis (2011 hingga 2013) dan mula menyarung jersi Harimau Malaysia tahun ini.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 9:27 AM


Isnin, 10 Oktober 2016

Rizal akui cabaran sengit kekal tempat

 
myMetro
Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan kanan Kedah, Rizal Ghazali yang kini bersama skuad Harimau Malaysia mengakui sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama berikutan komitmen tinggi daripada setiap pemain dalam kem latihan negara ketika ini.

Menurutnya, biarpun berjaya melaksanakan tugas yang diamanahkan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee dengan sebaik mungkin ketika menentang Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa Jumaat lalu belum cukup untuknya disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Baginya, penampilan pertama di peringkat tertinggi itu tidak menjamin tempatnya untuk aksi persahabatan kedua bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam malam esok, sebaliknya dia perlu meningkatkan lagi prestasi semasa.

“Tahap keyakinan saya 50-50 untuk dikekalkan sebab di sini (latihan pusat kebangsaan) ramai pemain yang juga terbaik.

“Bagi saya, kehadiran pemain lain sebagai satu cabaran yang positif untuk saya bersaing secara sihat dalam pasukan. Ia satu petanda baik untuk pasukan.

“Apapun, saya sudah bersedia untuk menentang Afghanistan dan kalau saya diturunkan nanti, saya akan ikut taktikal jurulatih dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Sementara itu, Kim Swee turut memuji aksi cemerlang Rizal yang disifatkannya begitu sempurna daripada seorang pemain yang baru pertama kali merasai bahang saingan antarabangsa.

“Sejujurnya semua pemain mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan Singapura.

“Sudah pastinya pemain seperti Rizal yang pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa bermain dengan cemerlang, walaupun pada 10-15 minit awal dia nampak agak gugup.

“Namun selepas itu dia berjaya menyerap tekanan itu dengan pantas dan itu petanda yang baik buat pasukan menjelang saingan Piala AFF bulan depan,” kata Kim Swee.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 10:49 AM

Aksi sulung Rizal tak mengecewakan

10 Oktober 2016 12:33 AM


MOHD. RIZAL GHAZALI (kiri) menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam dalam persiapan menghadapi Afghanistan di Shah Alam, esok. UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Biarpun hanya membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaysia dalam aksi persahabatan menentang Singapura, Jumaat lalu, namun Mohd. Rizal Ghazali mempamer aksi me­yakinkan dan bersedia untuk mendapat kepercayaan kedua apabila bertemu Afghanistan, Selasa ini.

Bek kanan Kedah itu berjaya mengekang asakan Si­ngapura dalam perlawanan yang berkesudahan 0-0, sekali gus memberi lebih banyak pilihan buat pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee untuk menjaga benteng ekoran kecederaan yang dialami beberapa tonggak utama.

Walaupun penampilan sulungnya mendapat pujian, namun pemain berusia 24 tahun itu mengakui, tahap permai­nannya masih perlu diperbaiki andai khidmatnya ditagih skuad kebangsaan dalam kejohanan lebih besar.

“Kali pertama diturunkan saya hanya beritahu diri sendiri supaya bermain seperti biasa dan tidak membiarkan pasukan lawan membolosi gawang negara.

“Pengalaman beraksi di pentas antarabangsa memberi satu pengalaman berharga. Perlawanan peringkat liga dan antarabangsa memang berbeza dan peluang yang saya perolehi ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Selepas mengharungi dua aksi persahabatan, skuad kebangsaan masih tidak mampu mencatat kemenangan.

Mereka tewas 3-0 kepada Indonesia di Solo bulan lalu, sebelum diikat tanpa jaringan oleh Singapura.

Biarpun berjaya memastikan gawang tidak dibolosi ketika bertemu Singapura, namun persembahan yang dipamer Harimau Malaysia di Stadium Nasional agak membosankan.

Mereka lebih banyak bertahan, kurang kreatif di bahagian tengah dan gagal mencipta banyak peluang menjaringkan gol.

Pertemuan dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam, Selasa ini merupakan peluang terbaik buat anak-anak buah Kim Swee mengembalikan keyakinan penyokong.

Mengulas mengenai khidmatnya yang mungkin terus di­tagih oleh jurulatih dalam perlawanan tersebut, Rizal mengakui, dia cukup bersedia untuk diturunkan.

“Semua pemain sudah pasti mahu dipilih untuk diturunkan begitu juga saya tetapi keputusan itu terpulang kepada jurulatih.

“Secara peribadi jika diturunkan saya akan memastikan aksi dipamerkan lebih baik berbanding ketika menentang Si­ngapura tempoh hari.

“Jika kami semua dapat beri yang terbaik pasti akan mendapat keputusan yang bagus,” jelasnya.

Sumber-UTUSAN MALASIA ONLINE 10 Oktober 2016