Memaparkan catatan dengan label AHMAD SHAHRUL AZHAR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AHMAD SHAHRUL AZHAR. Papar semua catatan

Isnin, 25 Julai 2016

Shahrul masih berteka-teki dengan Perak

ARKIB : 16/01/1998
PEMAIN tengah Perak, Ahmad Shahrul Azhar masih bermain teka-teki sama ada ingin terus menyarung jersi skuad Seladang atau beraksi dengan pasukan lain dalam Liga Perdana musim akan datang.

KAMARUDDIN ISMAIL melaporkan, kontrak Shahrul telah berakhir pada Disember lalu, tetapi beliau masih belum menandatangani kontrak baru dengan skuad Seladang itu.

Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar meminta pemain tengah itu datang dengan segera untuk menandatangani kontrak baru.

Raja Ahmad tidak tahu mengapa Shahrul masih belum muncul untuk mengesahkan kedudukannya sebagai pemain Perak musim akan datang.

Sukan Utusan difahamkan Shahrul cuba meminta kenaikan gaji yang lebih tinggi daripada pihak pengurusan Perak menyebabkan pemain tengah itu masih belum menurunkan tandatangannya.

Shahrul juga dikatakan menerima tawaran yang lebih baik daripada beberapa pasukan termasuk Kuala Lumpur dan sekali gus pemain tersebut terpaksa membuat pertimbangan yang mendalam.

''Saya berharap Shahrul tidak mungkir janji kerana beliau sudah berjanji akan terus kekal di sini,'' kata Raja Ahmad.

Sebelum ini, perpindahan Chee Wan Hoe ke Pulau Pinang dan Syamsol Saad ke Terengganu dikaitkan dengan rasa tidak puas hati kedua-dua pemain itu terhadap jumlah gaji yang mereka terima.

Raja Ahmad berkata, Wan Hoe tidak bersedia gajinya dikurangkan walaupun pemain pertahanan itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan sahaja.

Wan Hoe menerima gaji hampir RM9,000 itu merupakan pemain tempatan yang paling mahal musim lalu.

Namun begitu, gajinya dikurangkan hampir 50 peratus tahun ini menyebabkan beliau mengambil keputusan berpindah ke Pulau Pinang.

'' Gaji pemain-pemain Perak tahun ini adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang musim lalu,'' ujarnya.

'' Saya tidak boleh meletakkan bayaran gaji yang terlalu tinggi ke atas pemain-pemain yang hanya memberi sedikit sumbangan musim lalu,'' kata Raja Ahmad.

Syamsol juga tidak berpuas hati dengan tawaran gaji barunya menyebabkan pertahanan itu beralih angin ke pantai timur yang menawarkan gaji lumayan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FQ2CBsME © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 4 April 2016

Kapten Perak terlepas digantung 12 bulan

ARKIB : 08/02/2006
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian terlepas daripada hukuman digantung 12 bulan dan denda RM3,000 selepas Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengetepikan hukuman yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib pada 6 Januari lalu.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu dijangka dikenakan penggantungan tiga perlawanan dan denda RM1,000 sahaja mengikut Peraturan 6(a) Jawatankuasa Tatatertib.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah berkata, hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib mengikut peraturan 7 (a) tidak bertepatan dengan tuduhan perlakuan ganas Ahmad Shahrul ke atas pengadil perlawanan.

Menurutnya, jawatankuasa telah meneliti laporan dan menonton tayangan video insiden yang berlaku pada pertemuan Perak dengan MPPJ 31 Disember lalu dan mendapati bekas pemain kebangsaan itu tidak berlaku ganas ke atas pengadil, Manjit Singh.

``Istilah ganas ke atas Ahmad Shahrul adalah tidak tepat kerana dalam insiden tersebut, ketua pasukan Perak itu sekadar menyentuh Manjit.

``Tidak ternampak sebarang perlakuan ganas dalam istilah sebenar dilakukan oleh Ahmad Shahrul sama ada dia menumbuk atau menolak hingga jatuh pengadil tersebut.

``Kerana itu jawatankuasa berpendapat hukuman penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000 tidak wajar buat Ahmad Shahrul,'' ujarnya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Abdul Shukor, mesyuarat yang bersidang semalam mengarahkan jawatankuasa tatatertib mengadakan semula perbicaraan ke atas Ahmad Shahrul dengan tuduhan dibuat di bawah peraturan 6(a) dan bukannya 7(a).

Mengikut peraturan 7(a) menyebut, pemain yang diperintah keluar padang dan menerima kad merah oleh pengadil kerana berkelakuan ganas terhadap pengawai perlawanan secara automatik dihukum penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000.

Sementara hukuman bagi peraturan 6(a) memperuntukkan penggantungan tiga perlawanan dan denda sebanyak RM1,000.

Mengulas lanjut Abdul Shukor berkata, pertuduhan atas ketua pasukan Perak itu di bawah peraturan 6(a) dianggap bersesuaian.

``Keputusan ini tidak bermakna Ahmad Shahrul dibenarkan beraksi walaupun dia sudah menjalani penggantungan tiga perlawanan atas tuduhan pertama.

``Dia akan terus menjalani penggantungan sehingga keputusan baru diambil oleh Jawatankuasa Tatatertib yang akan bersidang tidak lama lagi,'' ujarnya.

Bagaimanapun ujar beliau, rayuan ketua pasukan Perak itu atas pertuduhan pertama apabila digantung tiga perlawanan dan denda RM1,000 ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan.

Menurutnya, pemain itu didapati bersalah kerana mengkasari penyerang MPPJ, Rachid Zmma pada minit ke-77 pada 31 Disember lalu.

Di samping itu katanya, rayuan daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) yang didenda RM10,000 kerana gagal mengadakan kawalan keselamatan di stadium, turut ditolak oleh jawatankuasa tersebut.

Ujarnya, rayuan jurulatih Telekom Melaka, Irfan Bakti yang digantung satu perlawanan dan denda RM1,000 juga ditolak.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44qmRQCrO © Utusan Melayu (M) Bhd