Memaparkan catatan dengan label AKMAL RIZAL AKHLI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AKMAL RIZAL AKHLI. Papar semua catatan

Sabtu, 3 September 2016

Pesta Bola Sepak MSSM -- Melaka kejutkan juara pertahan

ARKIB : 04/05/1998
Pesta Bola Sepak MSSM -- Melaka kejutkan juara pertahan
MELAKA mengejutkan penyandang juara, Selangor dengan kejayaan 2-1 pada perlawanan Pesta Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum, Jitra, petang semalam, lapor MARZUKI MOHAMAD.

Pada perlawanan kumpulan A itu, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun enam minit selepas rehat, Mirsad Amri memperdayakan penjaga gol, U. Saragunan yang meluru untuk menyelamatkan keadaan sementara gol kedua disumbat oleh Suhairi Othman minit 69.

Selangor bangun merapatkan jurang dan kesempatan terbaik yang diambil oleh D. Surindren mengenai sasaran pada minit ke-77 malangnya percubaan berterusan selepas itu tidak mengubah kedudukan.

Naib juara tahun lalu, Kedah pula berjaya menundukkan Pulau Pinang 3-1 bagi perlawanan kumpulan B, di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Pemain tuan rumah, Akmal Rizal Ahmad melakukan hat trick dengan jaringan pada minit kedua, ketiga dan 37 manakala gol tunggal Pulau Mutiara itu dihasilkan oleh Mohamad Azaini Ahmad pada minit 48.

Dalam perlawanan lain, Negeri Sembilan menang besar 6-0 ke atas Pahang pada perlawanan kumpulan D.

Di sebalik kekalahan teruk, Pahang turut kehilangan pemainnya, Iskandar Zulkarnain yang dibuang padang pada minit ke-60 oleh pengadil R. Krishnan, yang merupakan kes pertama pada kejohanan ini.

Iskandar dihukum kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan tulen setelah bertindak kasar dengan menendang paha pemain lawan, Shahdan Shahrom menyebabkan dia digantung dua perlawanan.

Pada perlawanan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Omar, Jalan Sultanah itu, Negeri Sembilan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Fadzil Abu Hassan pada minit ke-24 dan 53.

Bagaimanapun, pemain dari negeri adat perpatih itu, K. Rajan mencipta hat trick dengan jaringan pada minit ke-51, 52 dan 89. Satu lagi gol dijaringkan oleh Rasyid Ridha pada minit ke-74.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, Perlis mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan kemenangan 2-0 di padang Sekolah Menengah Teknik, Jalan Stadium.

Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama, tetapi Wan Irhandy Effendy Mohd. Zober membuka tirai jaringan pada minit 56 dan 10 minit kemudian, Amirul Jufri Abdul Jalil, memperkukuhkan pasukannya dengan gol kedua.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Johor 3-0 bagi perlawanan kumpulan C, di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Malik Alor Merah.

Gol semangat Wilayah datang dari Mohamad Hazmin pada minit ke-30 untuk mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, bagaimanapun, K. Thayalan memasti kemenangan dengan jaringan gol minit ke-44 dan 60.

Bagi perlawanan bawah 12 tahun, penyandang juara, Selangor dan Negeri Sembilan juga berjaya mengatasi halangan pertama sementara Pahang dan Perak terikat 2-2.

Selangor mengalahkan Melaka 5-1 bagi kumpulan A di Sekolah Kebangsaan Ayer Puteh, Pendang.

Gol Selangor diperoleh melalui Mohd. Arzuddin Mazalan minit ke-15, Tasmaun Mohamad (48), Aminuddin Zainuddin (52), Mohd. Amirul Hadi Zainol (53) dan Manthi Varma (59). Gol tunggal Melaka disumbat oleh Mohd. Anrat Abdul Rahman minit 25.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JG6w8TxR © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 28 April 2016

‘Sekadar hiburan semata-mata’


 
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
AKMAL RIZAL menyifatkan golongan muda lebih berminat menyaksikan perlawanan berbanding turun padang bermain bola sepak.

BEKAS penyerang RC Strasbourg, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyifatkan punca ketandusan pemain-pemain berpotensi muda disebabkan golongan ini masih belum dapat merasai ‘budaya’ serta ‘jiwa’ sebenar bola sepak.

Ini kerana Akmal Rizal membe­ritahu, bola sepak Malaysia masih belum mencapai standard ‘budaya’ sebaliknya ia lebih berbentuk hiburan kepada generasi muda tempatan.

Bekas pemain Kedah dan Sarawak itu tanpa berselindung mengakui sedikit kecewa kerana golongan muda kini lebih berminat untuk menyaksikan perlawanan berbanding turun ke padang untuk bermain bola sepak.

“Sukan bola sepak Malaysia masih bukan lagi (menjadi) budaya tetapi ia lebih kepada hiburan semata-mata.

“Di Malaysia, bola sepak adalah hiburan No. 1 dan mungkin itulah salah satu sebab mengapa budak-budak muda masih tidak nampak lagi potensi sebenar menjadi seorang pemain bertaraf profesional,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, setiap pemain harus memasang impian untuk beraksi pada tahap lebih tertinggi selain belajar untuk menambah ilmu, bukan hanya kepada bola sepak, sebaliknya pengetahuan am.

Katanya, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam memastikan minat generasi muda untuk menjadikan bola sepak sebagai karier yang menjamin.

“Saya fikir kena ada seorang pemain contoh yang berjaya berkelana di luar negara dan sehingga kini belum ada lagi mana-mana pemain mampu berbuat demikian.

“Sebagai pemain bola sepak, kita harus menanam cita-cita lebih tinggi untuk bermain. Yang penting adalah sokongan ahli keluarga.

“Selagi tiada budaya bola sepak, selagi itu kita tidak akan nampak pertumbuhan generasi muda untuk bermain bola sepak yang mana mereka kini lebih cenderung untuk menyaksikan bola sahaja,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz476hLp7tx Hakcipta terpelihara