Memaparkan catatan dengan label MOKHTAR DAHARI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MOKHTAR DAHARI. Papar semua catatan

Jumaat, 24 Mac 2017

Mengenang kembali Supermokh



ARKIB : 11/07/2002
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
(Wartawan Utusan)
BOLA sepak Piala Dunia 2002 yang turut menjadi `pasar jual beli jaguh' baru sahaja berakhir.

Perang sukan nombor satu dunia itu menyaksikan Brazil juara. Peminat serata dunia melihat temasya di Jepun dan Korea itu menerusi televisyen.

Warga Malaysia juga tidak ketinggalan. Apabila tamatnya temasya itu, terlalu banyak pandangan diutarakan, termasuk mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meniru cara Jepun dan Korea dalam arena bola sepak.

Namun begitu, terlalu ramai yang lupa bahawa hari ini (11 Julai) genaplah 11 tahun kematian Allahyarham Mokhtar Dahari. Legenda bola sepak Malaysia itu meninggal dunia 11 Julai 1991.

Hasil perkongsian hidup dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim, pasangan ini dikurniakan tiga anak, termasuk yang sulung dinamakan Mohd. Redha.

Pemain yang popular dengan jersi nombor 10 itu menyedari penyakitnya (Mascular Dystrophy) pada November 1988. Penyakit yang menyebabkan Mokhtar lemah atau tidak bermaya. Apabila berjalan terhuyung-hayang.

Mascular Dystrophy adalah penyakit gangguan otot dan saraf. Mengikut kamus perubatan, mascular dystrophy ialah sejenis penyakit keturunan.

Apabila menyebut nama Mokhtar Dahari, pasti peminat bola sepak lama turut terkenang kehebatan rakan tersohor dengannya, termasuk Soh Chin Aun (ketua pasukan Malaysia), Santokh Singh, James Wong, Hassan Sani, Chow Chee Keong, R. Arumugam (penjaga gol), Shukur Salleh dan Khalid Ali.

Menyebut kehebatan Mokhtar atau `Supermokh' pasti orang lama teringat kehebatan beliau menjaringkan satu gol dari jarak 40 meter, sehingga mengejutkan penjaga gol England B, Joe Corrigan di Stadium Merdeka.

Persoalan sekarang, siapakah rakyat Malaysia atau pemain negara yang boleh mencecah nama sehebat Mokhtar Dahari?

Apabila perkara itu dipersoalkan, tentu kita menuntut jawapan daripada FAM. Jawapan yang cukup kuat dan boleh dibanggakan.

Jawapan tersebut pula bukan sekadar menyatakan FAM telah berjaya mewujudkan Liga Semi-Pro, kemudian Liga Profesional yang turut membuka ruang membeli pemain dan jurulatih import.

Jika jawapan sedemikian ternyata tidak kukuh, terutama apabila terlalu ramai pemain Liga Semi-Pro yang menjual perlawanan atau telah menjadualkan keputusan pertandingan.

Masalah menjual perlawanan itu perkara lama. Kita tumpukan pula kepada Liga Profesional. Berapa ramai pemain hebat yang berjaya dilahirkan?

Mungkin terlalu sukar melahirkan sehebat `Supermokh', memadailah selincah Zainal Abidin Hassan (Selangor), Azman Adnan (Selangor) dan Hashim Mustapha (Kelantan) yang dikenali sebagai `penembak tepat' ke gol lawan sehingga dianugerahkan Kasut Emas.

FAM perlu menjawab persoalan ini. Satu lagi pertanyaan, adakah FAM pernah melakukan sekurang-kurangnya setahun sekali majlis tahlil untuk Allahyarham Mokhtar Dahari.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula perlu menayangkan rakaman perlawanan-perlawanan penting yang melibatkan Mokhtar Dahari. Tayangan tersebut mustahak bagi menanam semangat juang yang tinggi kepada generasi muda untuk mencapai ke tahap itu. Mungkin RTM telah melupuskan khazanah berharga itu?

Jika RTM telah `membakulsampahkan' khazanah berkenaan, memadailah mengenang jasa Mokhtar Dahari dengan memuatkannya menerusi slot Hari Ini Dalam Sejarah.

Sebenarnya, terlalu panjang dan padat sejarah kegemilangan Mokhtar Dahari. Keterangan terperincinya termuat dalam buku khas berjudul Mokhtar Dahari Lebih Satu Dekad Bergelumang Dengan Bola Sepak terbitan Kumpulan Utusan pada 1989.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz4cE8HVypQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 1 Oktober 2016

Mokhtar antara pemain terbaik Asia



ARKIB : 24/09/1998
ALLAHYARHAM Mokhtar Dahari yang digeruni oleh kebanyakan pemain pertahanan bola sepak di Malaysia dan Asia sewaktu zaman kecemerlangannya dipilih sebagai antara pemain bola sepak terbaik Asia abad ini.

Dia dipilih oleh satu pasukan pakar bola sepak Asia dan juga wartawan sukan yang dikendalikan oleh Persekutuan Perangkaan dan Sejarah Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS).

Mokhtar, yang meninggal dunia tahun 1991 adalah pemain kedua Malaysia yang mendapat penghormatan daripada IFFHS. Yang pertama ialah Chow Chee Keong yang dipilih sebagai antara 30 penjaga gol terbaik Asia abad ini.

Mokhtar mendapat ranking ke-30 dalam senarai IFFHS, manakala pemain Singapura, Fandi Ahmad ke-29. Fandi mengumumkan persaraan dari bola sepak antarabangsa baru-baru ini.

Pemain terbaik Asia Tenggara ialah Piyapong-Pue On dari Thailand yang menduduki ranking ke-19 manakala seorang lagi pemain Thailand, Sritong-In Natipong menduduki tempat ke-25.

Mengetuai senarai itu ialah bekas pemain Korea Selatan Cha Bum Kun yang menjadi jurulatih pasukan Piala Dunia '98 negara itu.

Seorang lagi pemain Korea Selatan, Kim Joo Sung di tempat kedua dan Abdullah Mohammed Majid dari Arab Saudi ketiga dengan pemain Jepun Kazu Miura dan Kumishige Kamamoto, keempat dan kelima. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4LtGGkELp© Utusan Melayu (M) Bhd