Memaparkan catatan dengan label ANUAR ABU BAKAR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ANUAR ABU BAKAR. Papar semua catatan

Jumaat, 7 April 2017

Annuar tagih aksi kelima



ARKIB : 18/09/2003
PENYERANG Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor, Annuar Abu Bakar mahu beraksi buat kali kelima dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia dan mencipta sejarah memenangi piala tersebut bersama pasukan berstatus kelab.

Menurut pemain berpengalaman itu, setakat ini dia pernah merasa aksi final sebanyak empat kali dan bertuah kerana menang dalam semua penampilan tersebut.

Justeru, dia berazam menambah koleksi kejayaannya dan kali ini bersama sebuah pasukan bertaraf kelab pula.

``Piala Malaysia adalah kejohanan paling berprestij di negara ini dan semua pemain mahu memenanginya termasuk saya sendiri.

``Walaupun sudah empat kali menang piala itu, tapi masih belum puas dan kalau boleh saya mahu bermain dalam perlawanan akhir kelima sepanjang kerjaya sebagai pemain bola sepak,'' katanya.

Annuar, 32, yang satu ketika dahulu mendapat jolokan `supersub' kerana kerap menjaringkan gol untuk pasukannya setiap kali dimasukkan sebagai pemain gantian, memenangi piala berkenan ketika bersama Johor (1991) dan Selangor (1995, 1996 dan 1997).

Walaupun semakin dipanjat usia, Annuar yang pernah menyarung jersi Pulau Pinang dan Kelantan, mempamerkan ketajaman dengan menyumbat 11 gol untuk MPPJ dalam saingan Perdana Dua musim ini.

Malah dia yang diarahkan bermain di bahagian tengah ketika perlawanan suku akhir kedua menentang Pahang, baru-baru ini tidak kisah diletakkan di mana-mana posisi.

``Kita masih tak tahu barisan pemain yang akan diturunkan oleh jurulatih (Dollah Saleh) bagi perlawanan dengan Perlis, Sabtu ini.

``Jika saya diturunkan, saya sedia bermain sama ada di bahagian serangan atau tengah. Yang penting adalah kemenangan pasukan,'' tegasnya.

Ditanya peluang MPPJ berdepan Perlis nanti, Annuar yakin rakan-rakannya mampu menjinakkan skuad Singa Utara itu.

``Saya bukan mahu cakap besar tapi melihat komitmen pemain dan persiapan yang dibuat, kami mampu mencatat sejarah mara ke perlawanan akhir,'' katanya.

Menurut Annuar, kelab itu tidak mempunyai pilihan melainkan berusaha mencari bekalan selesa sebelum berkunjung ke Perlis, 27 September depan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dZGCLykw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 20 Mac 2017

Anuar janjikan aksi menarik Sabtu ini

ARKIB : 05/02/2002
PENYERANG berpengalaman, Anuar Abu Bakar menjanjikan aksi menarik melalui sentuhan emasnya untuk membantu Pulau Pinang meraih kemenangan dalam perlawanan menentang Terengganu Sabtu ini.

Kegagalan membantu Pulau Pinang meraih kemenangan di hadapan penonton sendiri Sabtu lalu tidak melemahkan semangatnya malah menjadikannya sebagai satu pengajaran berguna.

Sentuhan yang masih belum menjadi walaupun mempunyai sekurang-kurang lima peluang ketika seri dengan Johor FC Sabtu lalu masih boleh diperbaiki.

``Sebelum turun ke padang saya menyimpan hasrat untuk menjaringkan gol pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri.

``Saya telah cuba sedaya upaya mencari ruang dan membuat percubaan tetapi terkena palang dan ditangkap kemas oleh penjaga gol yang begitu pantas membaca bola sepakan saya.

``Masih belum ada rezeki saya agaknya untuk menjaringkan gol dan membantu Pulau Pinang meraih kemenangan,'' katanya Anuar ketika dihubungi semalam.

Anuar antara pemain yang rajin di tengah padang ketika berhadapan dengan Johor FC Sabtu lalu perlu lebih tenang dan menyesuaikan diri dengan karenah serta sorakan penonton skuad Harimau Kumbang.

``Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan karenah penyokong, Insya Allah sedikit masa lagi dengan sokongan keluarga, rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong sendiri saya yakin dapat menyesuaikan diri dan bermain dengan sebaik mungkin,'' ujarnya.
Smber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4brex7zkl

© Utusan Melayu (M) Bhd