Memaparkan catatan dengan label AZMAN ADNAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AZMAN ADNAN. Papar semua catatan

Sabtu, 3 September 2016

Ketiadaan Freeman Selangor tempang

ARKIB : 20/04/1998
TERPEGUN... Pemain pertahanan Selangor, Aizal Lamin hanya mampu melihat kehebatan Merzagua Abderrazak menimang bola dalam perlawanan bola sepak PErdana Satu di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, kelmarin yang berkesudahan seri 1-1.

KECEDERAAN yang menimpa perancang utama Selangor, Alexander Freeman disifatkan menjadi punca utama kepada kegagalan Merah Kuning mengutip tiga mata ketika bertemu Pulau Pinang dalam Liga Perdana Satu, di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, kelmarin.

Freeman diusung keluar pada minit ke-52 perlawanan apabila tercedera selepas terbabit merancang gol pendahuluan pasukannya, melalui tolakan mudah Azman Adnan seminit sebelum itu.

Beliau yang berjaya merebut bola di luar kawasan penalti tuan rumah, melorongkannya kepada Rusdi Suparman yang berjaya menewaskan dua benteng Pulau Pinang sebelum menghantarnya ke depan gawang, untuk disudahkan oleh Azman.

Hakikat itu diakui sendiri oleh jurulatih Steve Wicks yang menyifatkan Freeman berperanan besar membendung pergerakan perancang utama Harimau Kumbang, Balla Modou Conde.

''Tuan rumah berjaya mengambil peluang pada 20 minit terakhir dengan berterusan menyerang untuk mencari gol penyamaan, manakala Conde mempunyai ruang yang luas untuk bergerak selepas ketiadaan Freeman,'' katanya selepas perlawanan itu.

Bagaimanapun Wicks berpuas hati dengan satu mata yang dikutip pasukannya memandangkan Pulau Pinang juga bermain baik untuk menyajikan permainan yang menghiburkan ribuan penonton.

Namun beliau berasa lebih gembira sekiranya Merah Kuning berjaya mengutip mata penuh kelmarin kerana pada pengamatannya tiga mata berhak dibawa pulang anak buahnya.

''Pemain bermain baik, tersusun dan mengikut segala arahan dengan kita menguasai hampir keseluruhan permainan melainkan 20 minit akhir perlawanan yang akhirnya menyaksikan Moey Kok Hong menyamakan kedudukan pada minit ke-78,'' terangnya.

Wicks memuji prestasi Amali Amir yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan pertama musim ini selain penjaga gol Azlisham Ibrahim yang berjaya mempamerkan kehebatan seperti yang dipamerkan pada musim 1995.

''Pemain baru Amali untuk beraksi di gelanggang yang dipenuhi hampir keseluruhan penyokong tuan rumah, tetapi dia berjaya membuktikan, manakala Azlisham sudah memperolehi keyakinan untuk menjaga gawang selepas memanaskan bangku simpanan musim lalu,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JBOGg1U0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Julai 2016

Wajah murung jadi tandatanya -- Azman benar-benar hampakan NS

ARKIB : 09/01/1998
 
AZMAN ADNAN... Tindakannya menyertai semula Selangor mencetuskan tanda tanya selepas dia dikatakan telah berunding dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk menyertai pasukan itu musim depan.

TINDAKAN penyerang kebangsaan, Azman Adnan menandatangani kontrak bersama Selangor kelmarin masih belum meredakan kontroversi yang timbul mengenai pemain berkenaan.

Malah pengumuman pengurus pasukan Selangor yang baru, Datuk Mokhtar Ahmad bahawa segala spekulasi mengenai isu perpindahan Azman telah tamat belum mampu menjawab banyak persoalan yang timbul.

Antaranya, wajah murung Azman ketika menandatangani kontrak bersama Selangor mengundang pelbagai andaian mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sebalik majlis yang berlangsung kelmarin.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Abdullah Sani Abdul Hamid yang ternyata amat kecewa dengan tindakan Azman itu mempersoalkan tindakan pemain itu yang tidak memaklumkan langsung kepada beliau mengenai keputusan pemain itu.

Akibat daripada tindakan Azman itu, para pegawai PBNS termasuk presidennya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah dibiarkan menunggu kemunculan Azman selama tiga jam kelmarin bagi majlis menandatangani kontrak dengan pemain itu.

Malah bapa pemain itu juga telah menghubungi Abdullah Sani pada pagi kelmarin dan menyatakan bahawa dia tidak dapat menghubungi Azman sejak malam Selasa lalu.

Menurut Abdullah Sani, sebelum ini beliau telah mengingatkan Azman agar tidak mengulangi 'sejarah silam' yang dilakukan oleh rakan sepasukannya di Selangor, Zainal Abidin Hassan kepada Negeri Sembilan tahun lalu.

''Berikutan itu, Azman telah berjanji apa yang telah dilakukan oleh Zainal tidak akan berulang,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Menurutnya, beliau juga telah dimaklumkan bahawa penduduk di sekitar Pedas - kampung asal keluarga Azman - berasa amat gembira apabila mendengar berita Azman akan pulang ke Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan tidak berlaku walaupun Azman telah meminta PBNS mencari sebuah rumah untuknya di Seremban dan mahu berpindah dalam masa seminggu.

Katanya, beliau menganggap Azman ikhlas apabila menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim ini, malah Azman juga dikatakan telah menghubungi rakan-rakannya di negeri ini dan menyatakan hasrat yang sama.

Jelasnya, beliau tidak kecewa jika Azman sebenarnya mahu memilih Selangor sebagai pasukan untuk beraksi musim ini.

''Tetapi mengapakan majlis menandatangani kontrak dengan Selangor diadakan secara tergesa-gesa jika benar Azman telah bersetuju untuk terus bersama Selangor.

''Wajah muram Azman ketika majlis itu juga tidak menggambarkan kegembiraan yang sepatutnya berlaku semasa majlis seperti itu diadakan,'' ujarnya.

Bagi mengatasi masalah pemain mungkir janji, Abdullah Sani mencadangkan kemungkinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat perkara itu bagi mengelakkan ia berulang.

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengelak mana-mana pemain daripada mudah memberikan janji tetapi mungkir pada saat-saat akhir.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Abdullah Sani juga menggesa Mokhtar berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat sombong sehingga boleh menjejaskan hubungan baik dengan persatuan bola sepak yang lain.

Sebagai profesional, katanya, Mokhtar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyinggung pihak-pihak lain.

Namun demikian, Abdullah Sani sempat mengucapkan tahniah kepada Mokhtar dan berharap pasukan Selangor mampu mengulangi kejayaan musim lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FDwxkcHS © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Julai 2016

Serangan KL mantap dengan kehadiran Azman

ARKIB : 03/01/2000
Serangan KL mantap dengan kehadiran Azman
JURULATIH Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mengakui jika Azman Adnan sah menyarung jersi pasukan warga kota untuk cabaran bola sepak Liga Malaysia musim ini, tugasnya untuk memperkukuhkan jentera serangan menjadi sedikit ringan.

Mat Zan tentu juga berasa lega kerana yakin penyerang berusia 29 tahun itu bukan sahaja mampu menyuntik nafas baru buat skuad mudanya tetapi menjadi 'pembimbing' kepada semua pemain.

''Sudah tentu Azman nanti akan menjadi sandaran utama untuk menjaringkan gol. Cuma sekarang ini saya sedang memikirkan siapa yang bakal menjadi rakannya di barisan depan,'' kata Mat Zan semalam.

Menurut jurulatih itu yang terus diberi kepercayaan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk membimbing pasukan buat semusim lagi, penyerang mudanya, Mohd. Nizaruddin Yusof dan penjaring terbanyak Kuala Lumpur, Mohd. Farid Dewan menjadi fokus utama sebagai gandingan Azman.

''Secara peribadi, saya nampak Nizaruddin lebih sesuai kerana dia memiliki ciri-ciri sebagai penyerang sokongan atau feeder.

''Dia memiliki kemahiran mengawal bola yang tinggi dengan hantaran-hantaran ke gawang yang baik. Saya pasti Azman mudah bekerja dengannya,'' ujar Mat Zan.

Namun, Mat Zan tidak mengetepikan kebolehan Farid yang dianggapnya lebih licik.

''Cuma Farid perlukan sokongan penuh rakan penyerang lain kerana dia ada kepakaran menjaringkan gol,'' tambahnya.

Dalam kempen Liga Malaysia musim lalu, Nizaruddin, penyerang berusia 22 tahun yang dipanggil untuk latihan skuad kebangsaan kendalian Abdul Rahman Ibrahim, lebih banyak membantu Farid menjaringkan gol.

Farid adalah penjaring utama warga kota dengan lapan gol sepanjang musim lalu.

Mat Zan juga mengakui kehadiran Azman nanti mampu mengubah situasi rumit Kuala Lumpur di depan gawang lawan selain dia boleh bertindak sebagai 'abang' untuk membimbing pemain mudanya.

''Kita sukar sekali mencari gol kerana barisan depan yang kurang mantap. Mungkin Azman mampu mengubahnya,'' ujarnya.

Dalam kempen Perdana Satu musim lalu, Kuala Lumpur bagaimanapun mencatat hasil agak memberangsangkan apabila berjaya menjaringkan 25 gol daripada 18 perlawanan liga, tetapi memboloskan 29 gol.

Begitu pun kata Mat Zan, segalanya bergantung kepada kehadiran Azman untuk mengubah situasi itu dan jika perancangan KLFA untuk memikat pemain itu gagal, Nizaruddin dan Farid akan terus menerajui pasukan musim ini.

Azman, penyerang yang dibeli Pulau Pinang musim lalu dan masih mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul penjaring terbanyak Perdana Satu dengan 15 gol, kini bebas daripada ikatan kontrak dengan mana-mana pasukan.

Kuala Lumpur dikatakan sedang berusaha mendapatkan khidmat pemain itu untuk memperkukuhkan cabaran musim baru.

Kuala Lumpur kini sedang giat berlatih dan mereka dijadual menentang Polis pada perlawanan persahabatan di padang Pulapol, Kuala Lumpur, petang ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4F8aVEudW © Utusan Melayu (M) Bhd