Memaparkan catatan dengan label ONG KIM SWEE. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ONG KIM SWEE. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Oktober 2016

Kim Swee kena baiki sentuhan penyudah

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
13 OKTOBER 2016
 Kim Swee kena baiki sentuhan penyudah
Kim Swee kena baiki sentuhan penyudah Antara aksi bertenaga dipamerkan Hadin (kiri) ketika aksi Malaysia menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam, kelmarin.
HARIMAU Malaysia perlu memperbaiki segala kelemahan khususnya di bahagian serangan sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki yang akan bermula pada 19 November ini,

Menurut pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, pemain perlu bekerja lebih keras lagi untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada selain mempertingkatkan kekuatan mental menjelang kejohanan tersebut.

Ini kerana katanya, segala kekurangan itu jelas kelihatan pada aksi persahabatan menentang Afghanistan kelmarin yang menyaksikan mereka sekadar seri walaupun dihidangkan deretan peluang.

“Saya percaya bahawa kita sepatutnya menang perlawanan itu, terutama dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain pada separuh masa kedua namun masih terdapat beberapa kelemahan khususnya di bahagian serangan.

"Ada sedikit peningkatan terutama daripada segi gerakan tetapi aksi  di jentera serangan perlu diperbaiki lagi.

"Saya akan fokus pada latihan untuk memperbaiki dan mendapatkan  corak  serangan yang lebih kemas sebelum perlawanan pertama Piala AFF pada 21 November," katanya.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Afghanistan yang menghuni ranking ke-149 dunia terlebih dahulu membuka jaringan minit ke-33 menerusi Noarollah Amiri sebelum Mohd Hadin Azman menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama.

Untuk rekod, dalam tiga perlawanan terakhir, skuad Harimau Malaysia hanya menjaringkan satu gol selepas terikat tanpa jaringan  menentang  Singapura pada Jumaat lalu dan tewas 3-0 kepada Indonesia 6  September lalu.

Kim Swee berharap akan ada perubahan secara menyeluruh daripada pemainnya bagi mendapatkan tonik terbaik sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki.

“Secara keseluruhan, kami bertahan dengan baik. Kita buat asakan berterusan sehingga membuahkan gol.

“Babak kedua pun sama, kita agresif dan meningkatkan tekanan kepada Afghanistan. Saya harap pemain akan terus meningkatkan kualiti perlawanan," katanya.

Harimau Malaysia yang kini menghuni tangga ke-158 dunia dijangka membuat perhitungan terakhir di pentas persahabatan antarabangsa menentang Papua New Guinea lima hari sebelum Piala AFF membuka tirai.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 13 OKTOBER 2016

Khamis, 13 Oktober 2016

Fokus tajamkan bahagian serangan

12 OKTOBER 2016
Ong Kim Swee
SELEPAS gagal mencatatkan kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut, pengendali skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee mahu fokus untuk memperkukuhkan barisan serangan negara.

Katanya, beliau perlu memperbaiki kelemahan di bahagian serangan sebelum kempen Piala AFF Suzuki bermula pada 19 November di Myanmar untuk mencapai sasaran iaitu mara ke peringkat akhir.

"Saya percaya bahawa kita sepatutnya menang perlawanan tadi, terutama dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain pada separuh masa kedua. Saya akan fokus pada latihan untuk memperbaiki dan mendapatkan corak serangan yang lebih kemas sebelum perlawanan pertama Piala AFF pada 21 November.

"Bagaimanapun saya cukup kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pertahanan hari ini," katanya pada sidang media selepas seri 1-1 dalam aksi persahabatan menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.‎

Pada aksi malam ini, Afghanistan yang menghuni ranking ke-149 dunia, terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi Noarollah Amiri sebelum Muhd Hadin Azman menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama.

Untuk rekod, dalam tiga perlawanan terakhir, skuad Harimau Malaysia hanya menjaringkan satu gol pada malam ini, selepas terikat tanpa jaringan bersama Singapura pada Jumaat lalu dan tewas 3-0 kepada Indonesia 6 Sept lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih Afghanistan, Petar Segrt kecewa dengan kurangnya kehadiran peminat tempatan semasa perlawanan itu.

"Bagaimanapun, Saya berpuas hati dengan prestasi anak-anak buah saya. Kami menguasai permainan pada masa pertama, mempunyai peluang baik dan bermain dengan bersemangat. kami juga gembira dengan menjaringkan gol pertama," katanya.

Malaysia hanya mencatatkan tiga kemenangan daripada 11 perlawanan sepanjang tahun ini, iaitu dua kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste dalam aksi playoff kelayakan Piala Asia 2019 pada Jun lalu dan kemenangan keatas New Caledonia, yang kemudian tidak diiktiraf oleh FIFA kerana kesilapan teknikal di pihak penganjur.

Skuad kebangsaan seterusnya dijangka berhadapan dengan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 Nov di Malaysia, sebelum Kim Swee memuktamadkan senarai 23 pemain untuk Piala AFF yang akan bermula 19 November hingga 17 Disember ini. – Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 12 OKTOBER 2016

Sabtu, 3 September 2016

Melaka gugur Kim Swee, Paul Raj

ARKIB : 29/04/1998
Melaka gugur Kim Swee, Paul Raj
BEKAS pemain kebangsaan, Ong Kim Swee dan Paul Raj akhirnya digugurkan daripada pasukan bola sepak Melaka ekoran persembahan kurang menyerlah pada persaingan bola sepak Liga Perdana Dua musim ini, lapor AMIRUDDIN HARUN.

Kedua-dua pemain itu digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menerusi sepucuk surat yang diserahkan kepada dua pemain terbabit pada 21 April lalu.

Pengguguran dibuat setelah persatuan itu mendapati kedua-dua pemain itu tidak menunjukkan prestasi seperti yang dikehendaki semasa perjanjian ditandatangani sebelum perlawanan liga dimulakan.

Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh ketika dihubungi di Melaka semalam memberitahu, tindakan drastik itu diambil setelah MAFA tidak mempunyai pilihan lain bagi memastikan pasukan itu diwakili oleh barisan pemain yang berwibawa.

Mengenai pembayaran gaji pemain-pemain, beliau mengakui MAFA berhadapan dengan masalah pembayaran gaji pemain tetapi MAFA cuba menyelesaikannya secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya, masalah ini timbul kerana Gibca Holdings Sdn. Bhd., yang menjadi penaja utama pasukan musim ini masih belum menyuntik bantuan kewangan kepada MAFA.

Beliau juga mengesahkan bahawa hanya enam pemain kontrak termasuk pemain import yang dibayar gaji bulanan manakala baki pemain yang merupakan pemain amatur hanya dibayar elaun.

Berikutan masalah yang timbul, katanya, Presiden MAFA, Datuk Mohamed Jais akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah pada 3 Mei ini di Arwana Resort, Genting Highlands.

Menurutnya, pertemuan itu diharap dapat menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh MAFA lebih-lebih lagi setelah pasukan Sang Kancil diaibkan oleh pasukan Terengganu, 0-5 pada perlawanan Perdana Dua di Terengganu, Jumaat lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4JChfgJEc © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 27 Julai 2016

Melaka sudah ada pemain

ARKIB : 27/02/1998
MESKIPUN persiapan pasukan Liga Perdana Melaka terganggu dengan langkah pengswastaannya, pasukan itu akhirnya memiliki barisan pemainnya sendiri apabila 19 pemain menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), semalam, AMIRUDDIN HARUN melaporkan.

Sebanyak 16 pemain tempatan dan tiga pemain import - dua dari Nigeria dan satu dari Cameroon menandatangani kontrak dengan MAFA pada majlis ringkas di pejabat persatuan itu petang semalam.

Pemain tempatan yang bakal menyarung jersi pasukan Melaka ialah A. Zainal Rabin, Rajkumar, Sazali Abdul Wahid, Ong Kim Swee, K. Ravisandran, Leong Hong Seng, S. Balan dan Mohamed Faisal Mohd. Isa.

Turut terpilih mewakili pasukan Sang Kancil musim ini ialah Azni Ariffin, Azrin Shah Zainal, Md. Nor Sheikh Ibrahim, Paul Raj, Hilmi Hassan Farouke, Ridzuan Abu Shah, dan Arfandy Lokman.

Pemain import yang menandatangani kontrak pula ialah dua bekas pemain Terengganu, Edwards Dipreye dan John Onwudegwu, kedua-duanya berasal dari Nigeria serta Belle Belle Yves dari Cameroon.

Senarai pemain musim ini juga menyaksikan empat pemain Liga Perdana Melaka musim lalu, iaitu Leong Hong Seng, K. Ravichandran, S. Balan dan Hilmi Hassan Farouke kekal dengan pasukan Melaka.

Timbalan Presiden MAFA, Abdul Aziz Majid pada sidang akhbar selepas majlis itu berkata, walaupun barisan pemain lewat dikemukakan tetapi mereka telahpun digandingkan dalam latihan sebelum ini.

''Mereka sudah berlatih bersama-sama di bawah jurulatih G. Torairaju dan kini giat mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan sebelum beraksi dalam Liga Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang meleset, gaji yang ditawarkan kepada pemain adalah tidak terlalu tinggi iaitu antara RM1,800 hingga RM4,000 dan kedudukan ini turut difahami oleh pemain sendiri.

Bagaimanapun, MAFA berjanji untuk menambah elaun sebanyak 10 peratus sekiranya pasukan itu naik ke bahagian satu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FbnQVNoN © Utusan Melayu (M) Bhd