Isnin, 3 Disember 2018

Hadiah untuk Malaysia - Fakri


ARKIB : 12/12/2009
VIENTIANE - Kemenangan untuk rakyat Malaysia.

Itu kata penjaring gol kemenangan pasukan bola sepak Malaysia ketika mengalahkan Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A, semalam, Ahmad Fakri Saarani.

Jaringan tersebut yang membawa skuad bimbingan K. Rajagobal ke separuh akhir, amat bermakna buat Mohd. Fakri apatah lagi menumbangkan juara bertahan, Thailand.

"Kemenangan ini amat membanggakan dan sungguh bermakna. Saya seronok dan rasa berbaloi kerana setelah bermati-matian mencuba, mengasak, akhirnya kemenangan yang kita cari berjaya dicapai.

"Kemenangan ini untuk rakyat Malaysia yang mahu melihat kejayaan skuad bola sepak negara.

"Juga kemenangan ini untuk bapa saya, Saarani Hussein yang banyak memberi dorongan karier saya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan semalam, Thailand yang hanya perlu seri untuk ke separuh akhir, mendahului menerusi jaringan Arthit Sunthorphit pada minit ke-52.

Mohd. Nasriq Baharom menyalakan semangat para pemain apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80 sebelum Ahmad Fakri menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia layak ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan A di belakang Vietnam.

Mengulas permainan dengan Thailand, Ahmad Fakri, 20, berkata, dia kagum dengan semangat rakan sepasukan yang tidak mudah mengalah atau tertekan walaupun ketinggalan pada awal babak kedua.

"Sebelum perlawanan lagi kami sudah yakin untuk mengalahkan Thailand.

"Berbekalkan keyakinan itu, kami terus tenang dan mengatur serangan walaupun ketinggalan," katanya. - Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YgvkP2KJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Santokh tunjuk reaksi positif


ARKIB : 25/11/2009
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Hampir seminggu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), kesihatan bekas pemain bola sepak kebangsaan Santokh Singh semakin baik.

Meskipun belum sedar sepenuhnya, Santokh yang membuat penampilan sebanyak 150 kali bersama skuad negara telah menunjukkan reaksi positif.

Isteri Santokh , Taljit Kaur yang ditemui, semalam berkata, keadaan suaminya lebih baik berbanding hari pertama dimasukkan ke ICU, Khamis lalu.

"Suami saya jatuh di rumah selepas selesai mengendalikan latihan untuk pemain muda kelab penyokong Arsenal Malaysia.

"Dia kemudiannya dihantar ke HKL dan ditahan di wad biasa. Namun, Khamis lalu, dia dimasukkan ke ICU. Kini keadaannya beransur pulih dan saya berharap dia kembali sihat seperti sedia kala," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Jelas Taljit, Santokh tidak pernah ditahan di hospital sebelum ini dan kejadian tersebut adalah kali pertama dilalui oleh suaminya yang kini berusia 57 tahun.

Katanya, suaminya itu masih mengamalkan kehidupan sihat dengan tidak merokok dan melakukan aktiviti senaman ringan, selain menjadi jurulatih bersama kelab penyokong Arsenal Malaysia.

"Dia hanya menghidap penyakit diabetes pada tahap rendah, tetapi tidak pernah ditahan di hospital," katanya sambil mengharapkan semua rakyat Malaysia mendoakan kesihatan suaminya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Amin yang ditemui ketika mengunjungi Santokh berkata, pihaknya bersedia membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh keluarga pemain ternama negara itu.

Katanya, FAS bersedia memberi apa sahaja sumbangan kepada Santokh yang pernah menyumbang bakti kepada pasukan Selangor selama 18 tahun.

"Sumbangan yang mungkin boleh diberikan oleh FAS adalah dari segi bantuan kewangan. Saya telah berbincang dengan isteri Santokh, Taljit cara yang boleh kami membantu keluarga tersebut," katanya yang turut ditemani Bendahari FAS, S. Siva Sundram.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5YdJRyJ00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Santokh masih koma kena jangkitan virus


ARKIB : 21/11/2009
KUALA LUMPUR - Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Santokh Singh (gambar) masih koma sejak pengsan di kediamannya empat hari lepas.

Santokh, 57, kini mendapat rawatan pakar di Unit Rawatan Rapi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) namun berada dalam keadaan stabil.

Isteri kepada pemain yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972 itu, Taljit Kaur berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit sebelum pengsan pada kira-kira pukul 11 pagi di kediamannya di Setapak, Isnin lalu.

"Sebelum ini saya lihat beliau begitu sihat malah sempat mengendalikan program kejurulatihan sehari sebelum itu," katanya kepada pemberita semalam.

Taljit berkata, sehingga kini doktor belum dapat mengenal pasti penyakit yang dihadapi suaminya namun doktor hanya maklumkan Santokh mengalami jangkitan virus.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Amin yang mengunjungi Santokh berkata, pengorbanan pemain di posisi pertahanan Malaysia pada era kegemilangannya pada tahun 70-an tidak ternilai dan berharap semua peminat bola sepak tempatan mendoakan agar Santokh segera sembuh.

Turut hadir melawat beliau ialah Bendahari FAS, S. Siva Sundram dan bekas rakan-rakan sepasukan yang pernah bersama beliau dalam skuad Selangor.

"Beliau bukan hanya legenda bola sepak bagi Selangor malah boleh dikatakan sebagai legenda bola sepak Malaysia yang telah banyak menyumbang jasa kepada negara.

"Bagi membantu Santokh, FAS akan berusaha untuk memberi semua kemudahan yang diperlukan oleh beliau dan keluarga sebagai tanda penghargaan bagi dirinya," katanya. - BERNAMA
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5YdFIFYDH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 25 Januari 2018

Akhyar perlu buat pilihan tepat

 
AKHYAR (kiri) dinasihatkan usah ke Liga Indonesia. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

PENYERANG skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Akhyar Rashid perlu menyiasat profil kelab luar negara yang berminat mendapatkan khidmatnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berhijrah.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menjelaskan, ia penting bagi memastikan tujuan pemain muda Kedah itu berhijrah ke luar negara untuk mengembangkan lagi bakatnya, tercapai.

Katanya, Akhyar atau pemain lain yang berhasrat untuk beraksi di liga luar negara perlu memilih kelab yang memiliki standard lebih tinggi berbanding pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Kalau nak diikutkan pergi ke (liga) Indonesia tak digalakkan kerana standard mereka lebih kurang liga M. Tapi kalau Jepun dan Thailand, saya fikir bagus untuk pemain muda seperti Akhyar mengembangkan bakatnya.

“Tapi dia kena pastikan adakah kelab yang ingin disertai itu berprofil tinggi dalam liga mereka dan selain mempunyai sejarah melahirkan ramai pemain kebangsaan negara itu.

“Kita juga perlu lihat struktur kelab itu, apa kedudukan mereka dalam liga dan seterusnya kemudahan yang dimiliki. Kalau kemudahan lebih teruk dari Kedah buat apa dia pergi,” katanya hari ini.

Semalam, abang Akhyar, Rafdi yang juga bekas pemain Kedah mengesahkan terdapat wakil atau ejen yang berminat berunding dengan adiknya itu mengenai tawaran beraksi bersama kelab Thailand, Jepun dan Indonesia.

Ia susulan prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain berusia 18 tahun itu ketika bersama skuad negara sepanjang Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang menyaksikan anak didik Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah apabila mara hingga ke suku akhir.

Selain itu, Sathianathan turut berharap pemain tempatan yang ditawarkan kelab luar perlu membuat penilaian terlebih dahulu dan tidak hanya menjadi pelengkap kepada pasukan itu.

“Pemain perlu lihat kelab mana yang mahukan mereka. Jangan kelab divisyen dua Thailand, itu tidak bagus.

“Mereka juga kena pastikan ada peluang untuk bermain, contohnya jika pergi ke Thailand, kalau kelab itu hanya nak guna dia bagi penuhi untuk kuota import ASEAN dan diletakkan di bangku simpanan, buat apa.

“Tapi kalau di Jepun, divisyen satu dan dua mereka sudah bagus. Jika kelab itu bagus, pemain tidak harus lepaskan peluang ini dan kita semua pasti gembira jika ada pemain tempatan beraksi di liga lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January

Jumaat, 29 September 2017

Aksi Syamsuri digantung 3 bulan



ARKIB : 12/05/2007

KUALA TERENGGANU – Penjaga gol pasukan bola sepak Penyu, Mohd. Syamsuri Mustafa digantung tiga bulan oleh Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) ekoran masalah disiplin.

Pengurus PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, keputusan menggantung aksi penjaga gol terbabit dibuat pada mesyuarat Sabtu lalu dan penggantungannya pula berkuat kuasa, 1 Mei lalu selepas PBSNT meneliti surat penjelasan daripada Mohd. Syamsuri.

“Keputusan ini dibuat mengikut perjanjian yang terkandung dalam kontrak pemain.

“Buat masa ini kita rehatkan dia dahulu dan selepas tamat tempoh itu, Mohd. Syamsuri akan dibenarkan untuk beraksi kembali,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Che Mat menambah, gaji pemain berusia 26 tahun itu juga akan dipotong 50 peratus setiap bulan sepanjang tempoh penggantungannya.

Mengulas dakwaan penjaga gol tersebut terlibat dalam menjual permainan pula, Che Mat berkata, tiada bukti menunjukkan Mohd. Syamsuri terlibat dalam perbuatan tersebut

“Buat masa ini, tidak timbul soal menjual permainan, cuma dia direhatkan kerana masalah disiplin sahaja,” ulasnya.

Sementara itu, Che Mat menambah, hukuman ke atas seorang lagi pemain yang turut direhatkan, Norfazly Alias masih belum ditentukan oleh PBSNT kerana pihaknya masih menunggu penjelasan daripada pemain terbabit.

“Dia (Norfazly) diberi tempoh 14 hari untuk memberi penjelasan kepada PBSNT mengenai prestasinya yang merosot dalam beberapa perlawanan sebelum ini,’’ jelasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4u3gGboTA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 Jun 2017

Jurulatih bidas Shebby



ARKIB : 25/01/2006

KUALA LUMPUR - Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia melahirkan rasa kesal dengan kenyataan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh (Shebby) yang disifatkan menjejaskan maruah semua jurulatih yang memiliki sijil kejurulatihan.

Shebby dalam satu kenyataan di sebuah akhbar (bukan Utusan Malaysia) menyebut bekas pemain skuad Kuala Lumpur itu tidak perlu memiliki sebarang kelayakan kejurulatihan tetapi berpendapat pendidikan lebih penting daripada tunjuk ajar yang diperoleh di bilik darjah.

Setiausaha Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, E.R Subramaniam menegaskan, kenyataan Shebby itu menjejaskan reputasi jurulatih yang telah mengikuti program kejurulatihan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, apa yang dinyatakan oleh Shebby itu adalah tidak benar.

``Nanti orang akan berpendapat seorang pemain bola sepak yang baik boleh menjadi jurulatih yang baik,'' ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Shebby adalah jurulatih untuk `My Team' - program realiti bagi mencungkil bakat pemain amatur dari seluruh negara bagi memilih 22 peserta terbaik dari 13 negeri.

Mengulas lanjut Subramaniam berkata, pemain yang hebat tidak semestinya menjadi jurulatih yang baik.

Beliau mengambil contoh bintang-bintang bola sepak dunia seperti Pele, Johan Cruyff, Michel Platini dan Kevin Keegan yang gagal sebagai jurulatih.

``Saya pasti mereka mengharungi suasana gemilang di zaman mereka beraksi terutama di Piala Dunia tetapi ia tidak terbukti mereka adalah jurulatih berjaya,'' ujarnya.

Beliau menambah, Sir Alex Ferguson, Jose Maurinho, Carlos Alberto Pareira dan Rafael Benitez walaupun mereka tidak menyarung jersi kebangsaan atau bermain di Piala Dunia tetapi mereka adalah jurulatih terbaik dunia masa kini.

``Apa yang membuatkan mereka menjadi jurulatih yang berjaya?,'' ujar Subramaniam.

Tegasnya, beliau tidak menafikan pengalaman sebagai pemain penting untuk menjadi jurulatih.

Namun katanya, jurulatih yang mempunyai pendidikan dan pengalaman dalam kejurulatihan di semua peringkat memainkan peranan penting.

``Kita tidak boleh memperkecilkan pembelajaran pendidikan kejurulatihan jika dibandingkan pengalaman semata-mata sebagai pemain,'' ujarnya.

Tambahnya, ada beberapa pendidikan dalam bidang kejurulatihan tidak diperoleh sewaktu menjadi pemain

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jcDjukWh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 31 Mei 2017

Chan Yew bakal cipta sejarah



ARKIB : 18/06/2005
Oleh AMRAN MULUP  
KUALA LUMPUR - Lim Chan Yew bakal memahatkan sejarah sebagai pemain bola sepak Malaysia yang pertama akan beraksi dalam Liga Divisyen Dua Inggeris musim depan.

Hanya sebelah kaki pemain pertahanan Public Bank itu sudah berada di England. Dia perlu melalui ujian terakhir selama dua minggu sebelum mendapat tawaran daripada kelab liga divisyen dua, Bournemouth FC.

Tiga hari lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima surat panggilan daripada Bournemouth FC yang meminta Chan Yew, 28, melapor diri ke kelab itu pada 12 Julai ini.

Timbalan presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, kelab tersebut ingin membuat ujian terakhir ke atas pemain pertahanan Public Bank itu sebelum ditawarkan kontrak untuk musim depan.

Menurut beliau, Chan Yew diminta untuk beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan menentang dua pasukan daripada Liga Perdana Inggeris, Charlton dan Portsmouth manakala satu lagi pertemuan dengan Southampton.

``Ini adalah khabar gembira bukan sahaja buat FAM tetapi juga rakyat Malaysia.

``Chan Yew akan melalui ujian terakhirnya sebelum ditawarkan kontrak beraksi dalam Liga Divisyen Dua Inggeris.

``Ini bukan usaha FAM tetapi sebaliknya Bournemouth FC terpikat dengan aksi Chan Yew sewaktu dia menjalani ujian dengan dua lagi pemain kebangsaan Mac lalu,'' ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco FAM yang dipengerusikan oleh presidennya, Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.

Dua lagi rakan Chan Yew iaitu penjaga gol, Syamsuri Mustafa dan Fadzli Saari yang turut mengikuti ujian pemilihan dengan kelab liga divisyen dua itu selama tiga minggu gagal mencuri perhatian Bournemouth.

Menurut Redzuan, Chan Yew akan berlepas ke England pada 12 Julai ini dan akan berada selama dua minggu menjalani latihan dan mengharungi perlawanan persahabatan yang diatur oleh Bournemouth.

Katanya, mesyuarat Exco yang bersidang telah bersetuju untuk menanggung semua perbelanjaan Chan Yew sewaktu dia bersama kelab itu selama dua minggu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4ieZvKOg6
© Utusan Melayu (M) Bhd