Selasa, 4 Oktober 2016

Helmi sahut cabaran OKS



 
Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan Kedah Khairul Helmi Johari (gambar) bersedia untuk menggalas tugas mencabar bersama skuad kebangsaan meskipun sedar kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

Helmi antara muka baharu yang dipanggil oleh jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee bagi melengkapkan senarai 30 pelatih bagi kem latihan pusat kali ini untuk berdepan Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional pada Jumaat ini dan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

Dengan masalah persaraan serta kecederaan pemain pertahanan, ia peluang terbaik buat kapten Kedah itu mencari tempat dalam pasukan ke Piala AFF di Yangon, Myanmar pada November ini.

“Ia satu penghormatan dan saya fikir setiap pemain berat untuk menolak dan harus berasa bangga untuk menyertai kem kebangsaan.

“Bagi saya, terpulang kepada jurulatih untuk menilai mana-mana pemain kerana apa yang penting pemain harus bersaing sesama sendiri untuk membuktikan keupayaan.

“Namun, secara peribadi, saya agak terkejut dan secara tidak langsung, saya fikir tanggungjawab semakin besar kerana menjadi kapten di pasukan negeri (Kedah) pun bukan mudah. Jadi ini satu penghargaan dan setiap pemain mesti ada sasaran untuk sampai ke tahap ini,” katanya kepada pemberita, semalam.

Kehadiran Helmi akan memberikan Kim Swee lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan tengah dengan Fadhli Shas, Ronny Harun, Shahrul Saad, Shahrom Kalam dan Khuzaimi Piee turut berada dalam senarai kali ini.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:56 AM

Sabtu, 1 Oktober 2016

Mokhtar antara pemain terbaik Asia



ARKIB : 24/09/1998
ALLAHYARHAM Mokhtar Dahari yang digeruni oleh kebanyakan pemain pertahanan bola sepak di Malaysia dan Asia sewaktu zaman kecemerlangannya dipilih sebagai antara pemain bola sepak terbaik Asia abad ini.

Dia dipilih oleh satu pasukan pakar bola sepak Asia dan juga wartawan sukan yang dikendalikan oleh Persekutuan Perangkaan dan Sejarah Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS).

Mokhtar, yang meninggal dunia tahun 1991 adalah pemain kedua Malaysia yang mendapat penghormatan daripada IFFHS. Yang pertama ialah Chow Chee Keong yang dipilih sebagai antara 30 penjaga gol terbaik Asia abad ini.

Mokhtar mendapat ranking ke-30 dalam senarai IFFHS, manakala pemain Singapura, Fandi Ahmad ke-29. Fandi mengumumkan persaraan dari bola sepak antarabangsa baru-baru ini.

Pemain terbaik Asia Tenggara ialah Piyapong-Pue On dari Thailand yang menduduki ranking ke-19 manakala seorang lagi pemain Thailand, Sritong-In Natipong menduduki tempat ke-25.

Mengetuai senarai itu ialah bekas pemain Korea Selatan Cha Bum Kun yang menjadi jurulatih pasukan Piala Dunia '98 negara itu.

Seorang lagi pemain Korea Selatan, Kim Joo Sung di tempat kedua dan Abdullah Mohammed Majid dari Arab Saudi ketiga dengan pemain Jepun Kazu Miura dan Kumishige Kamamoto, keempat dan kelima. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4LtGGkELp© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 30 September 2016

Bagi 'can' lah...

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurusan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) diminta lebih berlembut dalam soal latihan pusat skuad negara biarpun jelas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ada menggariskan peraturan mewajibkan pemain hanya perlu melaporkan diri empat hari sebelum sesuatu perlawanan.

Pandangan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali (gambar) yang mengakui beliau sudah sampai ke tahap simpati terhadap pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee apabila perancangannya sering diganggu ketika tempoh saingan Piala AFF semakin hampir November ini.

Jelasnya, walaupun mungkin wujud rasa tidak puas hati antara pengurusan pasukan kelab itu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ia boleh diselesaikan cara baik tanpa mengheret pasukan kebangsaan ke dalam masalah mereka.

“Apa yang dilakukan JDT II itu bagi saya mengikut peraturan dalam statut FIFA. Jadi, Kim Swee sememangnya perlu akur dengan situasi berkenaan.

“Begitupun, saya rasa kelab itu juga perlu berlembut sedikit dengan melepaskan pemain mereka lebih awal untuk menjalani latihan kerana seluruh rakyat Malaysia juga tahu apa masalah yang dialami jurulatih.

“Sudahlah pemain bersara, kemudian ada yang mengalami kecederaan, jadi apalah salahnya diberi kelonggaran untuk Kim Swee melatih lebih lama sedikit daripada tempoh empat hari yang ditetapkan itu.

“Kita kena faham ini persiapan pasukan Malaysia. Kalau mereka gagal di Piala AFF nanti, sudah tentu imej negara akan jatuh. Jadi bantulah, walaupun tak banyak, sikit pun jadilah,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Kelmarin, kem negara menerima kejutan apabila tiga pemain JDT II - Zaquan Adha Abd Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok - diarahkan pulang pihak pengurusan kelab mereka selepas baharu menjalani latihan di Wisma FAM Isnin lalu.

Keputusan untuk memanggil balik pemain itu mengejutkan pengendali Datuk Ong Kim Swee yang mahu mengadakan latihan lebih awal bersama 13 pemain tidak terikat dengan mana-mana pertandingan ketika ini.

Berdasarkan situasi terbaru itu, ia pasti memberi tekanan kepada Kim Swee ketika pencabar mereka di peringkat Kumpulan B nanti Myanmar dan Vietnam tenang dengan persiapan masing-masing.

Malah, sehingga kini, pengendali dari Melaka itu dilihat ‘bereksperimen’ apabila masih tercari-cari pemain untuk membarisi skuad negara di kejohanan serantau yang dianggap seperti ‘Piala Dunia ASEAN’.

“Kalau keadaan seperti ini berterusan, saya nasihatkan Kim Swee agar melupakan terus khidmat pemain dari kelab itu dan beri peluang kepada mereka yang betul-betul mahu mewakili negara,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 8:42 AM

Selasa, 13 September 2016

Skuad negara masih gementar

ARKIB : 03/08/1998
JURULATIH negara, Hatem Souissi menganggap skuad bawah 19 tahun negara berada dalam keadaan gementar dan tidak berkeyakinan ketika perlawanan pembukaan kelayakan kumpulan 7 Bola Sepak Bawah 19 tahun Asia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam kelmarin, lapor ISHAK SALLEH.

Katanya, pemain-pemain muda negara tidak menunjukkan persembahan seperti yang diharapkan terutama pada separuh masa pertama.

Hatem memberitahu, ini mungkin mereka merasa takut kerana menentang Laos merupakan perlawanan pertama yang ditempuhi pada peringkat antarabangsa.

''Separuh masa kedua menyaksikan pemain-pemain negara mulai bekeyakinan dan dapat bergerak serta mengatur serangan ke kubu lawan.

''Sekiranya persembahan sebagaimana separuh masa kedua menentang Laos itu dapat dikekal serta diperbaiki, peluang untuk mencipta kemenangan ke atas Singapura, malam ini, cukup cerah.

Kelmarin Malaysia menewaskan Laos 4-0 dengan salah satu daripada gol tersebut adalah jaringan sendiri pemain pertahanan Laos, Kholadesh Phonphachanh pada minit ke-35.

Tiga lagi gol dijaringkan oleh ketua pasukan, Hairuddin Omar pada minit ke-69, Akmal Rizal Ahmad Rakhil (82) dan Mahathir Mohd. Jamal Mohd. (90).

Hatem mengakui dua daripada pemainnya menunjukkan permainan yang cemerlang iaitu S. Jayaprakash dan R. Nanthakumar yang banyak menimba pengalaman menerusi Liga Perdana.

''Saya yakin, pemain kami kini mempunyai semangat yang lebih tinggi untuk menghadapi Singapura.

''Bagaimanapun, mereka juga perlu berhati-hati dan apa yang penting ialah mencapai kemenangan untuk negara,'' tambah Hatem lagi.

Sementara itu, pengurus pasukan Singapura, Colin Chee berkata, aksi China kelmarin memaparkan mutu permainan yang terbaik dan sukar bagi pasukan lain untuk menewaskan mereka.

Katanya, setelah melihat kehancuran pasukannya diperbudakkan China 0-5, tidak mustahil jika pasukan Tembok Besar itu menempah tempat ke pusingan akhir di Chiang Mai, Thailand, Oktober depan.

Chee tidak meramalkan apa-apa dalam perlawanan Malaysia-Singapura, malam ini sebaliknya membuat andaian jika Malaysia mahu mencatatkan kejayaan, mereka perlu mencipta jaringan awal.

Dia yakin, Malaysia akan berjuang habis-habisan untuk menang sekali gus mara menentang China pada perlawanan terakhir bagi menentukan johan kumpulan dan layak ke pusingan akhir di Thailand.

Bagi jurulatih China, Chen Jingang, aksi beberapa pemainnya kelmarin melangkaui tahap sebenar yang diharapkan.

Katanya, China lebih teratur serta mempunyai pertahanan yang baik tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa dalam perlawanan bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

Sementara jurulatih Laos, Vangchai Muangmany berkata, pasukannya tiba ke sini tanpa persiapan yang cukup dan keadaan itu menyebabkan mereka serba kekurangan.

Katanya, apa yang Laos mampu lakukan kini ialah menggunakan semua tenaga pemain yang ada secara maksimum serta memberikan tentangan sedaya mungkin.

JADUAL HARI INI
7.45 malam _ China lwn Laos; 9.30 malam _ Malaysia lwn Singapura

(Semua perlawanan di Stadium Larkin, Johor Bahru)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KCsRkbf9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Alex lengkap koleksi peribadi

Rizar Mohd Noor-rizar@hmetro.com.my
 
Johor Bahru: Bukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) saja melakar sejarah mencipta hatrik kejuaraan Liga Super malah pemain sayap kanan skuad itu, Azamuddin Akil (gambar) turut mencipta sejarah peribadi selepas melengkapkan koleksi peribadi empat piala yang dimenanginya sejak membabitkan diri selaku pemain profesional.

Kini pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mahu mengalih tumpuan ketika aksi lebih getir menanti dan mahu membantu Johor DT memburu kemenangan pada aksi suku akhir pertama Piala AFC apabila menentang South China di Stadium Mongkok, malam esok.

Katanya, perasaan gembira melengkapkan koleksi peribadi selepas menjulang kejuaraan Liga Super amat dinanti-nantikan kerana sudah memenangi Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih ketika bersama Pahang.

“Impian menjadi kenyataan dan ia hasil kerja keras semua pemain Johor DT malah saya sendiri akui sejak menyertai pasukan ini, corak permainan menjadi lebih mantap selepas menjalani latihan yang cukup tersusun dan sistematik.

“Kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih Mario Gomez ibarat satu amanah yang harus dilakukan dan saya bersyukur berjaya melaksanakan bersama rakan sepasukan.

“Kini tumpuan kami beralih kepada saingan Piala AFC apabila menentang kelab dari Hong Kong dan kami harus mencari kemenangan bagi membawa bekalan selesa apabila beraksi pada suku akhir kedua di Stadium Larkin, 20 September ini,” katanya.

Jelasnya, moral pemain tampak begitu tinggi selepas melakar sejarah pada kancah Liga Malaysia (Liga M) dan pastinya perlu ada kesinambungan untuk melakar kemenangan apabila berdepan kelab dari Hong Kong itu.

Pemain sayap kanan itu tidak menafikan betapa tugas untuk mencipta kemenangan tetap ada memandangkan barisan pemain Johor DT sudah memahami kehendak perancangan taktikal Gomez dan perlu mengelak membuat kesilapan mudah.

Malah katanya, walaupun terpaksa berpisah sementara dengan keluarga sempena Hari Raya Aidiladha namun ia satu pengorbanan terbesar buat dirinya yang mahu membantu Johor DT meneruskan rentak kemenangan selain menaikkan imej kelab itu.

“Satu pengorbanan yang besar kami lakukan bagi memburu kejayaan dan sebagai pemain profesional kami harus bersiap sedia dan mempamerkan corak permainan konsisten dan menafikan penguasaan kelab dari Hong Kong.

“Rekod tanpa kalah ketika saingan Kumpulan H ingin dikekalkan, walaupun kami tahu agak sukar selepas mendapat tahu pasukan South China dibarisi pemain baharu yang mantap tapi kami akan tetap letak sasaran untuk menang,” kata Azamuddin.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:12 AM

Isnin, 12 September 2016

Safawi mahu bawa T-Team ke separuh akhir

ISNIN, 12 SEPTEMBER 2016 @ 9:01 PM
Oleh Faizul Azlan Razak bhsukan@bh.com.my 
SAFAWI bertekad untuk memastikan T-Team meneruskan rentak cemerlang bertemu FELDA United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia. - Foto Aswadi Alias KUALA TERENGGANU: Pemain kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid bertekad untuk memastikan T-Team meneruskan rentak cemerlang bertemu FELDA United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Sabtu ini.

 Pemain sayap kiri berusia 19 tahun itu berkata, kemenangan 3-2 ke atas naib juara Liga Super Sabtu lalu menambah keyakinan buat The Titans. "Kejayaan mengatasi FELDA United, Sabtu lalu hasil kerja keras dan semangat juang rakan sepasukan untuk meraih kemenangan.

"Kemenangan ini bukan saja mengekalkan pasukan dalam Liga Super musim depan, malah memberi suntikan moral untuk menghadapi suku akhir kedua di Jengka, Sabtu ini," katanya. Penjaring gol pada aksi suku akhir pertama itu berkata, jika rakan sepasukan mengekalkan aksi konsisten seperti perlawanan tempoh hari, peluang pasukannya mara tampak cerah. Katanya, dia yakin taktikal yang dipertaruhkan ketua jurulatih, Rahmad Darmawan mampu merakamkan kemenangan untuk mara ke separuh akhir.

 "Jika dilihat prestasi semasa pasukan, peluang kita untuk meraih kemenangan ke atas FELDA United di stadium keramat mereka masih ada. "Saya akui FELDA United memiliki sedikit kelebihan jaringan gol di tempat lain, namun kami akan berusaha untuk mengatasi situasi itu dengan memburu gol awal," katanya. Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 28 Ogos lalu, T-Team dan FELDA United mencatatkan seri 1-1.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/192173


Shamsurin tuntut pampasan

ARKIB : 16/07/1998
Shamsurin tuntut pampasan
BEKAS penyerang utama Sarawak, Shamsurin Abdul Rahman menuntut Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) membayar pampasan tiga bulan gaji berikutan penamatan kontraknya minggu lalu.

FAS telah menamatkan kontrak pemain lincah yang berasal dari Melaka itu pada 6 Julai lalu dengan bayaran gaji sebulan sebagai ganti rugi kepada notis sebulan.

Tindakan menamatkan kontrak pemain itu dipercayai ada kaitan dengan masalah kecederaan yang masih membelenggu lagi Shamsurin ketika mewakili pasukan kebangsaan dalam kejohanan kelayakan Piala Dunia di Dubai, tahun lalu.

Bagaimanapun, Shamsurin mendakwa kontrak yang ditamatkan berdasarkan Fasal 6 (C) Kontrak Pemain Bola Sepak yang ditanda tangani antaranya dengan FAS pada 23 Oktober, 1996 tidak dimasukkan dalam kontrak berkenaan.

Namun begitu, katanya, berlandaskan Fasal 26 (C) yang ada pada kontrak itu, penamatan seseorang pemain perlu dibuat menerusi tiga bulan notis atau dibayar tiga bulan gaji sebagai ganti rugi.

''Dalam hal ini, saya menerima keputusan FAS menamatkan kontrak saya. Tetapi cara pemberian pampasan itu tidak selari dengan fasal yang sedia ada.

''Saya terima sekiranya mereka (FAS) tidak mengkehendaki khidmat saya lagi. Namun, saya mesti mendapatkan pampasan tiga bulan gaji sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 26 (C),'' katanya kepada sebuah akhbar tempatan, semalam.

Menurut Shamsurin, dia sudah pun merujuk perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya.

Sambil melahirkan rasa kecewa, pemain yang pernah mengungguli penjaring terbanyak dalam skuad Bujang Senang berkata, beliau akan mengambil tindakan secara profesional bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Tegasnya: ''Saya tidak sesekali akan memalukan FAS. Apa yang saya minta ialah tindakan FAS perlulah berasaskan kepada kontrak yang sedia ada.''

Dalam pada itu, beliau turut 'berkecil hati' dengan jurulatih Alan Vest yang sepatutnya terlebih dahulu memaklumkannya secara lisan sebelum mengemukakan surat penamatan kontrak.

Menurutnya, semua yang terlibat dalam skuad bola sepak Sarawak adalah profesional dan sebarang tindakan yang diambil perlulah juga secara profesional.

''Saya tidak suka dengan cara yang dilakukan seperti ini,'' ujarnya kesal.

Shamsurin mula menyarung jersi Sarawak pada 1993 dan sejak itu ia mula mencipta nama melalui persembahan cemerlang sehingga dipanggil mewakili pasukan nasional.

Perlawanan terakhir Shamsurin bersama Sarawak musim ini ialah ketika menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya bulan lalu di mana Bujang Senang tumpas 0-3.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K40gJSWm © Utusan Melayu (M) Bhd